
SIK: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kelayakan seseorang untuk memegang sesuatu jawatan tidak semestinya menuntut individu itu untuk bertanding, sambil menyifatkan perebutan jawatan adalah punca kerosakan dalam sesebuah organisasi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pencalonannya sebagai salah seorang calon bagi jawatan Naib Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS ke-71 yang bakal berlangsung di Alor Setar pada 15 dan 16 September nanti.
Menurutnya, beliau sedar akan kedudukannya dalam parti dan tidak pernah berniat untuk memanjat hierarki yang lebih tinggi, sebaliknya menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukan kedudukannya.
“Layak tak semestinya bertanding. Saya ulang banyak kali, saya ini kedudukan dalam parti tak pernah dikejar, saya duduk di sini pun orang tua-tua (orang lama) yang lantik, yang tunjuk kat mana saya patut duduk. Saya pun tahu diri saya di tangga mana,” katanya ketika ditemui media, di sini semalam.
Menteri Besar Kedah itu turut menyatakan bahawa beliau akan membuat keputusan mengenai penerimaan pencalonan tersebut sebelum tarikh tutup pada 29 Ogos ini.
“Belum lagi. Sebelum 29 haribulan itu, saya isi borang itu, saya hantar. Kena hormat juga orang yang mencalonkan itu. Tapi saya kena tahulah, sanggup ke tidak? Itu kena tanya saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi melahirkan harapan agar tradisi tiada perebutan jawatan dalam PAS akan berkekalan bagi mengelakkan parti daripada terjerumus ke dalam kancah politik tidak sihat.
Beliau memberi amaran bahawa perebutan jawatan adalah permulaan kepada gejala lebih buruk seperti sogokan, rasuah dan akhirnya boleh membawa kepada kerosakan negara.
“Banyak parti-parti di dunia ini rosak kerana perebutan itulah. Bila berebut, mula menyogok. Bila menyogok, mula merasuah. Bila merasuah, mula mencuri. Bila mencuri, mula merosakkan negara. Semuanya mula daripada rasa layak nak duduk jawatan itu.
“Jadi benda itu tak boleh ada dalam PAS dan saya pun tak mahu ada dalam diri saya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











