
KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Pusat menyeru rakyat Malaysia supaya lebih peka dan menghormati Jalur Gemilang susulan beberapa kes pemasangan bendera negara secara terbalik yang berlaku kebelakangan ini.
Ketuanya, Balasubramaniam Nachiappan berkata, situasi itu menunjukkan masih ada dalam kalangan rakyat kurang memberi perhatian terhadap tatacara betul untuk mengibarkan bendera negara, walaupun pendedahan dan panduan mengenainya sudah diberikan sejak di bangku sekolah.
Menurutnya, teguran demi teguran telah dibuat, namun masih ada individu gagal mematuhi kaedah betul sehingga pihak berkuasa tempatan terpaksa mengambil tindakan tegas terhadap premis melanggar peraturan itu.
“Sejak dari sekolah, rakyat sudah didedahkan dengan panduan yang jelas mengenai cara mengibarkan Jalur Gemilang. Malah, panduan rasmi turut diterbitkan dari semasa ke semasa. Oleh itu, alasan tidak mengetahui atau tersalah pasang tidak sepatutnya timbul.
“Saya menyedari ada pihak yang mencadangkan agar Prosedur Operasi Standard (SOP) pemasangan Jalur Gemilang diwujudkan. Namun begitu, pada pandangan saya, ilmu asas ini sudahpun tersedia dan seharusnya menjadi pengetahuan umum rakyat Malaysia tanpa perlu lagi dipersoalkan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyokong tindakan tegas Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) yang baru-baru ini menggantung operasi dua premis perniagaan selama 30 hari kerana didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.
Katanya, tindakan itu wajar sebagai langkah mendidik masyarakat agar lebih menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan dan maruah negara.
“DHPP menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya lebih peka, bertanggungjawab, dan menghormati Jalur Gemilang, terutamanya ketika menjelang Hari Kebangsaan.
“Maruah negara terletak pada sejauh mana rakyatnya menzahirkan rasa cinta dan hormat terhadap simbol negara tercinta ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/8/2025











