
PAS Putrajaya mahu menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia berhak mendiami sesebuah rumah yang dijamin pemilikannya tanpa perlu bimbang diusir atau dirampas hak secara zalim. Maka, Rang Undang-undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (RUU URA) yang digubal dan dibentang secara terburu-buru wajib ditolak sekeras-kerasnya.
Realiti sekarang juga menunjukkan banyak pemegang taruh sama ada di pihak legislatif blok pembangkang mahu pun blok kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil termasuk individu berpengaruh semakin lantang mempertikai RUU URA ini. Namun begitu, sikap menteri yang akan meneruskan bacaan kali kedua dan mendapat sokongan majoriti esok tidak sukar.
Pembaharuan semula bandar mesti mengambil kira banyak faktor kritikal. Ia memerlukan perundingan dan persefahaman yang adil. Bukan paksaan dan zalim. Apa yang kami bimbang ialah sebanyak 139 kawasan di Kuala Lumpur berpotensi untuk disenaraikan di bawah projek pembaharuan semula bandar. Adakah semua pemilik bersetuju? Tidak.
Dalam RUU URA memperuntuk ambang persetujuan bagi kategori bangunan selamat yang kurang daripada 30 tahun hanya memerlukan 80 peratus sahaja penyertaan. Jika ini berlaku, maka sebahagian rakyat akan berhadapan risiko kehilangan pemilikan rumah atau tanah mereka. Hak mereka boleh dirampas secara paksa.
Selain itu, RUU URA juga memperuntuk kuasa menteri terlalu besar dan luas. Menteri akan berperanan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan dan menteri berkuasa untuk menasihati Jawatankuasa Eksekutif Negeri terhadap kebolehlaksanaan sesuatu projek pembaharuan semula bandar termasuk meluluskan pemaju bagi menerima sesuatu insentif.
Bagaimana pula dengan mekanisme terperinci pampasan dan perlindungan ke atas pemilik? Adakah pemilik tidak akan dikenakan apa-apa kos untuk mendapatkan semula pemilikan mereka? Ketidakjelasan ini yang menimbulkan kesangsian. Oleh sebab itu, banyak pihak termasuk Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen mendesak agar RUU URA ditangguhkan.
KPKT perlu meneliti semula akta-akta berkaitan seperti Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hak Milik Strata 1985 dan Kanun Tanah Negara untuk tujuan penambahbaikan tanpa perlu menggubal RUU URA. Perbanyakkan rundingan awam untuk mencari titik persetujuan yang adil dan tidak hanya berpihak kepada kepentingan pemaju.
Terima kasih.
MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Putrajaya – HARAKAHDAILY 27/8/2025











