Kelantan perkasa semula program Desa Taqwa

- Advertisement -

PASIR MAS: Kerajaan Negeri Kelantan memperkasakan semula program Desa Taqwa sebagai kesinambungan usaha melahirkan masyarakat yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

- Advertisement -

Inisiatif itu juga bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus berteraskan Islam sebagaimana yang diasaskan menerusi Desa Taqwa oleh Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak tahun 1991.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan menegaskan, kekuatan dan keberkatan sesebuah kampung bergantung kepada pemimpin serta rakyat yang tunduk patuh kepada Allah SWT.

“Hanya masyarakat yang beriman akan menerima rahmat di dunia hingga akhirat, manakala yang ingkar akan ditimpa azab sebagaimana berlaku ke atas kaum Tsamud, ‘Ad dan kaum Nabi Lut AS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pemerkasaan Desa Taqwa 2025 di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas.

Katanya lagi, bencana alam seperti puting beliung di Vietnam, banjir di India serta pandemik COVID-19 adalah peringatan daripada Allah, di samping krisis sosial dan moral termasuk pencabulan dalam keluarga serta gejala LGBT yang semakin meruncing.

“Kalau kita benar-benar beriman, tidak ada orang miskin atau kelaparan di kampung kerana pemimpin dan masyarakat saling bantu-membantu. Dengan itu kita tidak bimbang azab Allah datang pada bila-bila masa,” ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan, pemerkasaan Desa Taqwa bertujuan melahirkan masyarakat seimbang dari segi rohani dan kebendaan.

“Desa Taqwa Gelang Mas dipilih sebagai salah satu daripada sepuluh Desa Taqwa perintis dengan prasarana lengkap seperti sekolah agama dan kebangsaan, klinik, jalan raya, masjid dan pondok agama.

“Usaha ini adalah manifestasi dasar “Membangun Bersama Islam” yang merangkumi lima teras utama iaitu agama, sosial, pendidikan, ekonomi dan prasarana,” jelasnya.

Beliau menambah, sebanyak 101 Desa Taqwa telah diwujudkan di seluruh Kelantan sejak 30 tahun lalu, namun sebahagiannya semakin terpinggir.

“Bermula 2019, kerajaan negeri memperkasakan semula Desa Taqwa melalui pelan tindakan strategik dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Pemilihan 10 Desa Taqwa sebagai projek perintis diharap menjadi model pembangunan kampung contoh bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di seluruh negara,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Zamakhshari Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Muhammad serta ADUN Chetok, Zuraidin Abdullah dan Ketua Jajahan Pasir Mas, Shamsul Abu Bakar. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -