RUU Pekerja Gig perlu diperbaiki sebelum dilulus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 untuk bacaan kali kedua hari ini, namun beberapa kelemahan besar dalam draf RUU itu perlu diperbaiki sebelum ia diluluskan.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, semakan mendapati terdapat banyak peruntukan yang masih longgar dan tidak benar-benar memberi keadilan kepada pekerja gig.

“Seksyen 8 hingga 10 memang nyatakan hak asas pekerja gig seperti hak dimaklumkan kadar pendapatan, larangan penamatan tanpa sebab munasabah, dan hak menyertai persatuan gig. Tapi masalahnya, istilah ‘sebab munasabah’ terlalu terbuka. Ia boleh ditafsir ikut selera syarikat.

“Hak berpersatuan pula sekadar simbolik kerana tak sama kuat dengan kesatuan sekerja di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” jelas beliau.

Beliau turut menyentuh soal pembayaran pendapatan di bawah Seksyen 11 hingga 15 yang menurutnya, peruntukan menetapkan bayaran dibuat dalam tempoh tujuh hari tidak sesuai dengan realiti hidup pekerja gig.

“Pekerja gig hidup dengan pendapatan harian. Mereka ada komitmen isi minyak, servis motor, beli barang dapur. Kalau tunggu tujuh hari, memang susah,” katanya.

Tambahnya lagi, potongan pendapatan yang dibenarkan atas alasan ‘kesilapan syarikat’ juga boleh dimanipulasi.

“Apa saja potongan kalau disandarkan kepada ‘kesilapan syarikat’ akan jadi sah. Ini bahaya,” tegasnya.

Menyentuh Seksyen 14, beliau menganggap kuasa penyedia platform menutup akaun pekerja gig sehingga 14 hari bagi tujuan siasatan sebagai satu bentuk ketidakadilan.

“Bayangkan, akaun mereka ditutup dua minggu, pendapatan terus hilang serta-merta walaupun belum dibuktikan bersalah. Patutnya siasatan selesai dalam 24 jam. Kalau perlukan masa, syarikat kena bayar gaji minimum harian sepanjang siasatan. Barulah mereka cepat siasat dan tak sambil lewa,” katanya lagi.

Bagi aspek penyelesaian pertikaian melalui Tribunal (Seksyen 24–45), beliau mempersoalkan larangan pekerja gig diwakili peguam.

“RUU ini hanya benarkan mereka diwakili keluarga atau persatuan. Tapi bukan semua pekerja gig faham undang-undang dan hak mereka. Jadi, akses kepada keadilan jadi lemah,” katanya.

Manakala berhubung Majlis Perundingan (Seksyen 46–68), beliau berkata kuasa sebenar masih kekal di tangan Menteri.

Walaupun Majlis ditubuhkan untuk menentukan kadar pendapatan minimum dan standard kerja, kerajaan tetap boleh menolak syor mengikut budi bicara.

“Suara pekerja gig masih belum dijamin. Kalau semua bergantung pada kuasa Menteri, apa guna Majlis ini?” soal beliau.

Nurul Islam menegaskan bahawa walaupun RUU Pekerja Gig 2025 adalah satu langkah awal yang baik, ia perlu diperhalusi supaya benar-benar melindungi pekerja gig.

“Kita tak mahu Akta ini hanya jadi undang-undang kosmetik. Nampak ada, tapi tak menyelesaikan masalah sebenar. Janganlah sekadar ‘melepaskan batuk di tangga’,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -