URA tindas rakyat lemah, potensi gugat keharmonian

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang melihat Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) sebagai menindas golongan lemah serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, isu pemilikan tanah dan kediaman tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja melibatkan soal tempat tinggal, malah masa depan generasi akan datang, jati diri bangsa dan warisan negara.

“Walaupun lebih enam dekad Merdeka, isu pemilikan tanah masih menjadi cabaran utama. Ramai anak muda, terutamanya daripada kalangan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah, masih sukar memiliki rumah di bandar.

“Inilah realiti yang sedang berlaku. Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila berlaku peningkatan harga hartanah serta dasar yang dilihat memberi laluan mudah kepada pemilikan asing.

“Jika tidak dikawal, ia boleh mengubah landskap sosioekonomi bandar dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Ahmad Azlan berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan besar sama ada masyarakat asal tempatan akan semakin terpinggir di bandar yang menjadi pusat utama ekonomi, sosial dan pentadbiran negara.

“Sejarah di rantau ini mengajar kita bahawa proses pembangunan tanpa kawalan mampu menjejaskan keseimbangan penduduk. Justeru, Malaysia perlu mengambil iktibar agar situasi yang sama tidak berulang di sini,” katanya.

Menurutnya, usul dibentangkan dalam Muktamar Tahunan PAS turut menggesa supaya mempertahankan pemilikan tanah Bumiputera.

“Cadangan agar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara diteliti semula dilihat sebagai langkah proaktif bagi memastikan keseimbangan sosioekonomi terpelihara.

“Hal ini juga selaras dengan semangat Wasiat Raja-raja Melayu yang menitikberatkan perlindungan tanah rizab serta kepentingan rakyat asal,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ahmad Azlan berkata, pembangunan bandar mesti berlaku secara inklusif, adil dan seimbang agar rakyat tempatan tidak tersisih di tanah sendiri.

“Oleh itu, kesedaran dan kebersamaan masyarakat amat penting. Setiap pihak sama ada kerajaan, pembuat dasar, atau rakyat perlu memastikan pembangunan bandar berlaku secara inklusif, adil dan seimbang.

“Jangan sampai rakyat tempatan tersisih daripada memiliki ruang hidup di bandar yang sepatutnya terbuka untuk semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -