Mahasiswa KIAS ke MADAD jayakan misi kepimpinan

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Seramai 40 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) menyertai Misi Membina Kepimpinan di Murthada Dakwah Centre (MADAD), di sini.

- Advertisement -

Lawatan akademik itu memberi fokus kepada penghayatan nilai kepimpinan Islamik serta pengukuhan jati diri mahasiswa yang diadakan beberapa hari lepas.

Pensyarah Pusat Pengajian Teras KIAS, Rosnani Ripin berkata, mahasiswa KIAS diberi kepercayaan menggalas peranan fasilitator dengan mengendalikan aktiviti kepimpinan berpasukan bersama pelajar MADAD.

“Pengisian itu memberi pengalaman amali kepada peserta tentang bagaimana teori kepimpinan boleh diterjemah dalam bentuk tindakan,” katanya kepada Harakahdaily.

Antara pengisian ialah perbincangan isu semasa berkaitan kepimpinan Islam, simulasi membuat keputusan kolektif, latihan komunikasi dua hala serta projek mini bagi menguji daya kepimpinan.

Selain itu, mahasiswa KIAS turut mengadakan aktiviti refleksi kepimpinan di Gunung Jerai yang menekankan aspek kesabaran, keberanian, daya tahan emosi dan sikap tolong-menolong.

Rosnani berkata misi tersebut menjadi jambatan yang menghubungkan teori dan amali kepimpinan yang sebenar.

“Misi membina kepimpinan membuktikan kepimpinan sebagai seni membimbing diri dan orang lain dengan ilmu, akhlak dan visi.

“Kejayaan program tersebut seiring dengan misi KIAS untuk melahirkan graduan berintegriti, berwawasan dan mampu memimpin masyarakat dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya lagi.

Program berkenaan diikuti pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Pengurusan, KIAS Nilam Puri. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -