
PADANG BESAR: Alternative Riding Club (ARC) Padang Besar dengan kerjasama Pemuda PAS Kawasan Padang Besar telah mengadakan program Ziarah Kebajikan ke beberapa rumah di sekitar Pokok Sena, Mata Ayer di sini.
Inisiatif anak muda ini bertujuan menyantuni masyarakat kurang berkemampuan termasuk kalangan penduduk yang sedang diuji dengan masalah kesihatan.
Program ini dilaksanakan dengan menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian, sebagai tanda kepedulian anak muda terhadap kebajikan penduduk setempat.
Pengarah ARC Padang Besar, Mohd Hanif Mohamad mengetuai ziarah bersama Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Pokok Sena, Jamaluddin Ramli.
Turut serta Setiausaha Politik Menteri Besar, Mustaqim Abdullah, Ketua Pemuda PAS Padang Besar, Ali Na’imi Ahmad Azizi dan beberapa ahli ARC menguatkan lagi semangat keprihatinan dalam menjayakan usaha ini.
Penduduk yang diziarahi menzahirkan rasa syukur serta terharu dengan perhatian dan keprihatinan ditunjukkan dan mereka berharap agar usaha murni sebegini dapat diteruskan secara konsisten.
Pengarah Jabatan Kesenian, Budaya dan Sukan (DACS) Padang Besar, Muhammad Aiman A’zani, program ini membuktikan komitmen Pemuda PAS Padang Besar dan ARC dalam memastikan golongan yang terhimpit dengan kesusahan tidak dipinggirkan.
Menurut beliau, sayap PAS itu bahkan komited untuk melaksanakan secara berterusan inisiatif menyantuni warga dengan semangat penuh kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
“Program sebegini merupakan usaha berterusan bagi mendekati masyarakat dan menyampaikan mesej kepedulian anak muda terhadap kebajikan penduduk,” ujar beliau.
DACS merupakan salah sebuah jabatan di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia dengan moto ‘Duta Anak Muda’ yang juga platform untuk anak muda mengembangkan dan mengasah bakat dan minat masing-masing melalui unit kecil di bawahnya seperti ARC bagi aktiviti permotoran. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











