Masjid Sirajuddin berusia 55 tahun dinaik taraf

- Advertisement -

KANGAR: Masjid Sirajuddin di Kampung Padang Pauh, di sini bakal menjalani projek naik taraf menyeluruh bermula 27 Ogos ini bagi meningkatkan keselesaan jemaah serta memperkukuh peranannya sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.

- Advertisement -

Projek ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) dan dijadualkan siap pada 11 Februari 2026.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat ke masjid berkenaan menunaikan Solat Jumaat terakhir sebelum ianya ditutup untuk kerja-kerja naik taraf.

Baginda turut berkenan mendengar sembah taklimat berhubung projek tersebut yang dipersembahkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.

Naik taraf ini bukan sahaja memperkukuh struktur bangunan dan kemudahan sedia ada, bahkan diyakini mampu mengangkat martabat masjid sebagai pusat tumpuan umat Islam Kampung Padang Pauh dan kawasan sekitarnya.

Masjid Sirajuddin yang terletak di kilometer 4 Jalan Kaki Bukit ini dibina pada 1 Januari 1970 dan kini berusia 55 tahun.

Masjid ini sejak awal lagi menjadi antara masjid utama di daerah Kangar, berperanan penting sebagai pusat pengajian al-Quran, pendidikan agama dan perhimpunan umat Islam setempat.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di masjid sama.

Mengiringi keberangkatan ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku TpYang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih.

Para penerima asnaf juga mengikuti ceramah motivasi bertajuk ‘Bangun Jiwa Asnaf’ yang disampaikan pihak MAIPs. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -