
KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa tempoh 100 hari terakhir menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah fasa genting yang memerlukan fokus, strategi dan motivasi tinggi daripada setiap calon.
“Peperiksaan SPM merupakan penentu hala tuju pendidikan dan kerjaya bagi setiap murid. Tempoh 100 hari terakhir sebelum menjelang peperiksaan adalah fasa genting yang memerlukan fokus, strategi, dan motivasi yang tinggi untuk menghadapinya,” titah baginda.
Tuanku turut mengingatkan agar calon-calon SPM sentiasa berfikiran positif, memberi perhatian kepada ulang kaji secara berfokus dan sistematik, melakukan latihan intensif serta mengurus masa dengan bijaksana.
Menurut Baginda, sokongan dan keprihatinan guru serta ahli keluarga amat penting dalam memberi dorongan kepada pelajar.
“Sokongan dan keprihatinan guru serta seluruh ahli keluarga tersayang dalam menghadapi saat getir ini berupaya merangsang minda yang cerdas dan menjadi penawar emosi yang stabil serta jiwa yang tenang menjelang peperiksaan,” titah baginda lagi.
Titah berkenaan disampaikan melalui siaran video sempena Program 100 Hari Menjulang Aspirasi GPN 4.45@SPM 2025 yang diadakan Sabtu baru-baru ini di Dewan 2020, di sini.
Program anjurkan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini menghimpunkan pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan bermula awal November nanti.
Baginda juga menzahirkan pesanan supaya pelajar merancang jadual belajar yang sistematik, membuat ulang kaji secara berterusan serta tidak menunggu hingga ke saat akhir.
Pada masa sama, Tuanku Raja Muda turut menasihati agar para calon mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga kesihatan fizikal, mental serta bijak mengawal emosi masing-masing. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











