
KOTA BHARU: Setiap warga negara mempunyai tanggungjawab terhadap negara yang dicintainya, termasuk pihak korporat turut berkongsi rasa serta semangat sama.
Atas kesedaran itu, Jewels Hotel mengambil peluang mengenang kembali sejarah kemerdekaan dengan menganjurkan program Ambang Kemerdekaan yang turut disemarakkan dengan kempen derma darah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Dato’ Kamarudin Md Nor menyifatkan pengisian program kemerdekaan di Jewels Hotel memberi makna besar dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Katanya, deklamasi sajak berjudul Sebuah Seriosa Bangsa karya Allahyarham Norhisham Mustafa yang disampaikan penuh penghayatan penyair Abdul Hadi Yusof bukan sekadar rangkaian kata-kata indah, tetapi seruan untuk mengukuhkan semangat perjuangan, kesatuan dan kecintaan terhadap tanah air.
“Semangat itu turut diperkukuh dengan pengagihan Jalur Gemilang kepada orang ramai yang membawa mesej kebersamaan serta patriotisme yang harus terus mekar di hati setiap rakyat Malaysia, khususnya menjelang sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Derma Darah, Saringan Kesihatan dan Pengagihan Bendera Malaysia anjuran Jewels Hotel, di sini.
Beliau turut memuji langkah Jewels Hotel yang bukan sahaja menganjurkan program Ambang Kemerdekaan, malah mengadakan kempen derma darah bagi membantu tabung darah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sementara itu, Pengurus Jewels Hotel, Muhammad Azrin Zainal Abidin berkata penganjuran program ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat hotel dalam memberi manfaat kepada komuniti.
“Kami percaya kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan dan amalan menderma darah perlu dipupuk secara berterusan,” katanya.
Jelasnya, selain membantu hospital menambah bekalan darah yang sentiasa diperlukan, program seperti ini dapat menghubungkan pihak hotel dengan masyarakat sekeliling dalam suasana mesra dan penuh makna.
“Kami juga mengambil peluang ini untuk meraikan Bulan Kebangsaan dengan mengedarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kecintaan kepada tanah air,” katanya.
Majlis berkenaan dirasmikan Dato’ Kamarudin dan dilangsungkan di Jewels Hotel dengan kerjasama Kota Bharu Medical Centre (KBMC) serta HRPZ II dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang. – HARAKAHDAILY 26/8/2025












