
KUALA LUMPUR: Kerajaan diingatkan agar tidak tergesa-gesa dalam memodenkan sistem identiti digital negara tanpa memberi keutamaan kepada isu keselamatan data, privasi rakyat dan kerangka perundangan yang kukuh.
Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata, walaupun pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi memasukkan teknologi biometrik dan Identiti Digital Nasional (IDN) dialu-alukan, modenisasi tersebut tidak boleh mengabaikan hak rakyat.
”Saya tegaskan di sini bahawa modenisasi tidak boleh mengabaikan hak rakyat, privasi dan kebertanggungjawaban eksekutif,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mengakui teknologi biometrik yang dihubungkan dengan ID Digital mampu membawa banyak manfaat, termasuk mengurangkan birokrasi dan memastikan penyaluran bantuan kerajaan sampai kepada golongan sasar dengan lebih cepat dan tepat, seperti pernah disuarakan oleh Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA).
Namun begitu, beliau menggariskan tiga cabaran pokok yang perlu ditangani secara menyeluruh oleh kerajaan iaitu risiko kebocoran data, kepatuhan kepada kerangka perundangan, serta tahap penerimaan dan kefahaman pengguna.
”Kerajaan perlu meneliti isu penting iaitu kemungkinan Digital ID dijadikan sebagai ‘mule ID’ atau keldai ID oleh pihak ketiga, di mana identiti digital yang sepatutnya melindungi data pengguna boleh disalahgunakan untuk tujuan penipuan atau aktiviti haram,” tegasnya.
Dr Abd Ghani turut merujuk insiden kebocoran data besar-besaran yang berlaku di India pada Mei 2024, di mana hampir 500GB data biometrik milik jutaan kakitangan awam telah terdedah dan dijual melalui aplikasi Telegram.
”Kes ini mengingatkan kita bahawa data biometrik tidak boleh ditarik balik. Sekali bocor, ia kekal terdedah,” katanya.
Beliau menekankan bahawa keselamatan sistem tidak hanya bergantung pada alat pengimbas, tetapi pada pendekatan keselamatan berlapis (multi-factor authentication) dan penyulitan hujung-ke-hujung (end-to-end encryption).
Sehubungan itu, Dr Abd Ghani menyarankan agar kerajaan memberi keutamaan kepada tiga aspek penting sebelum melaksanakan sepenuhnya ID Digital.
”Pertama, pembinaan ekosistem keselamatan digital yang menyeluruh. Kedua, pematuhan undang-undang perlindungan data yang ketat. Dan yang ketiga, pendidikan dan kesedaran pengguna mengenai hak dan risiko mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











