
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan data rakyat sebelum melaksanakan pindaan Rang Undang-Undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 yang memperluaskan skop pengumpulan maklumat biometrik.
Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) berkata, pindaan ke atas Seksyen 62 akta itu menyaksikan perubahan frasa asal yang hanya membabitkan gambar dan cap jari kepada data biometrik, sekali gus merangkumi lebih banyak ciri fisiologi individu.
Menurutnya, langkah itu menimbulkan implikasi besar terhadap privasi rakyat kerana skop data peribadi yang boleh dikutip kerajaan menjadi semakin luas.
“Apabila skop data peribadi yang boleh diambil menjadi lebih luas, maka implikasinya adalah risiko privasi dan keselamatan data rakyat juga menjadi lebih besar. Sebelum ini, isu kebocoran data rakyat sudah banyak kali dilaporkan.
“Sebagai contoh, pada tahun 2023, CyberSecurity Malaysia mendedahkan bahawa sektor kerajaanlah sebenarnya yang banyak berlaku masalah kebocoran maklumat,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, dalam keadaan rakyat masih belum mendapat penjelasan berhubung kebocoran data sebelum ini, kerajaan seharusnya mengutamakan isu keselamatan berbanding meluaskan lagi kuasa pengumpulan maklumat.
“Persoalan yang timbul ialah siapakah pihak yang sebenarnya bertanggungjawab dan apakah tindakan apa yang telah diambil?
“Kerajaan fokuskan pula pada pindaan sebegini sedangkan implikasi negatif kepada rakyat akibat kebocoran ini begitu besar seperti pencerobohan informasi dan juga penipuan kewangan,” katanya.
Che Mohamad turut memberi contoh kesan kebocoran data yang membawa kepada jenayah penipuan kewangan, di mana maklumat peribadi digunakan oleh sindiket bagi memperdaya rakyat, termasuk warga emas.
“Akibatnya, ada warga emas yang kehilangan simpanan persaraan mencecah ratusan ribu ringgit akibat ditipu oleh ‘scammer’ ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberi jaminan dan pelan tindakan jelas untuk melindungi data rakyat, terutama dalam era teknologi yang semakin kompleks dan berisiko tinggi terhadap pencerobohan siber. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











