Lambakan produk asing boleh jejas industri tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025, bagi bacaan kedua di Parlimen hari ini diharap melindungi industri tempatan dari dimanipulasi pihak asing menerusi saluran import.

- Advertisement -

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkata, langkah itu memastikan Malaysia kekal konsisten dengan piawaian perdagangan antarabangsa bagi menutup ruang kelemahan di samping meningkatkan imej negara di mata dunia.

Malah beliau turut menyuarakan kebimbangan dihadapi pelabur di Bandaraya Getah Kedah (KRC) sekiranya kerajaan tidak melaksanakan pindaan terbabit dalam masa terdekat dijangka menjejaskan industri dalam masa yang singkat.

“Saya mahu menyentuh isu pelaburan strategik di kawasan saya, projek Kedah Rubber City, pelabur besar bernilai bilion ringgit, mereka memerlukan jaminan bahawa produk tempatan tidak ditenggelami dengan lambakan produk luar.

“Dengana adanya pindaan RUU Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan ini, kita sedang memberi isyarat yang kukuh kepada pelabur bahawa Malaysia ialah destinasi pelaburan yang selamat, stabil dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

RUU ini bagi memperkukuhkan pelaksanaan undang-undang sedia ada yang melindungi pengusaha tempatan daripada ancaman lambakan dan subsidi tidak adil.

Nurul Amin berkata, menerusi usaha tersebut juga memberi gambaran jelas bahawa Malaysia serius dalam melindungi industri tempatan sebagaimana yang dilakukan oleh negara-negara lain.

Sedangkan kata beliau, negara lain seperti Brazil sudah lama melaksanakan undang-undang anti lambakan yang ketat bagi melindungi industri keluli tempatan daripada persaingan tidak adil khususnya dari China.

“Begitu juga Indonesia melaksanakan langkah serupa bagi melindungi industri tekstil dan produk pertanian, kita tidak boleh ketinggalan, kita mesti ada perisai yang sama agar industri kita tidak mati sebelum berkembang.

“Kedudukan Malaysia di rantau ASEAN menuntut untuk kita bergerak pantas jika kita lambat negara jiran akan menjadi lebih kompetitif dan pelabur mungkin memilih negara-negara lain sebagai destinasi pelaburan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -