
KUALA LUMPUR: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) menggesa kerajaan supaya tidak tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dalam rundingan perdagangan, khususnya melibatkan kemasukan produk tenusu dan daging ke pasaran Malaysia.
Beliau berkata, isu halal tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sekadar pensijilan, tetapi turut melibatkan aspek toyyiban iaitu keselamatan dan kebaikan makanan untuk rakyat.
“Produk-produk dari Amerika yang dia paksa kita beli akibat rundingan tarif ini juga antara produk yang berisiko untuk kita makan, walaupun dilabel halal. Sebagai contoh, negara-negara Eropah tidak membenarkan import tenusu dan daging dari Amerika.
“Kerana dikhuatiri mengandungi pelbagai bahan yang boleh menjejaskan kesihatan, termasuk klorin serta bahan tambahan lain. Malah, pemakanan ternakan seperti lembu dan ayam di negara itu sering dikaitkan dengan penggunaan hormon yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada manusia.
“Selain itu, Amerika Syarikat juga terkenal dengan produk berasaskan ‘genetically modified organisms’ (GMO). Produk sebegini, walaupun banyak diuji dalam kajian saintifik, sering kali bukan bersifat organik dan berpotensi menimbulkan risiko kepada kesihatan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh hanya melihat isu perdagangan dari sudut ekonomi semata-mata, sebaliknya mesti menjaga maqasid syariah serta maslahah rakyat.
“Saya berharap Menteri MITI dapat memberi jaminan bahawa isu ini dijadikan sebagai satu lagi garis merah yang mesti dipantau, bukan sahaja dari sudut halal tetapi juga aspek toyyib iaitu produk mestilah menyeluruh, baik serta selamat untuk dimakan manusia.
“Jadi saya minta rang undang-undang ini berfungsi sebagai pendinding dan pengawal kepada maslahah serta maqasid syariah yang melibatkan rakyat Malaysia dalam soal urus niaga, perdagangan, sama ada kita membeli daripada mana-mana negara yang menjual atau mengeksport produk mereka,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar MITI memperketat kawalan terhadap aktiviti dumping bukan sahaja dari China, malah juga Amerika Syarikat, bagi mengelakkan pasaran tempatan menjadi tempat lambakan produk yang menjejaskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“Kita bimbang sekiranya kerajaan terlalu mudah membuka laluan hanya kerana tidak mahu berkonflik dengan Washington atau pentadbiran Trump, akhirnya rakyat Malaysia yang menanggung risiko besar.
“Kalau negara-negara Eropah, yang merupakan sekutu rapat Amerika, pun sanggup menolak dan menentang, maka Malaysia juga perlu berani lawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











