Utamakan lindungi kepentingan rakyat, industri tempatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengingatkan kerajaan agar memastikan aspek ketelusan, integriti siasatan serta kepentingan industri tempatan tidak diketepikan dalam pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan (Pindaan) 2025.

- Advertisement -

Menurut beliau, pindaan di bawah Fasal 4 yang membenarkan kerajaan menerima ‘aku janji’ daripada pengeksport atau kerajaan asing bagi menghentikan subsidi atau mengubah harga eksport sebelum siasatan penuh selesai, berpotensi membuka ruang kepada penyelewengan.

“Apakah jaminan pemantauan aku janji ini? Adakah pelaporan pematuhan diumumkan kepada umum atau kekal sulit di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sahaja? Bagaimana kerajaan mengelak pengaruh lobi industri besar atau tekanan diplomatik daripada negara pengeksport?” soalnya.

Katanya, ketika membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat hari ini,
kepentingan awam tidak boleh dikorbankan hanya kerana tawaran harga rendah semata-mata, sedangkan industri tempatan bakal berdepan persaingan tidak adil.

Beliau mencadangkan agar sebarang aku janji diterima secara bersyarat dengan pemantauan ketat serta laporan pematuhan wajib dibentangkan ke Parlimen setiap enam bulan.

Tambah beliau lagi, hak industri tempatan mesti didengar terlebih dahulu sebelum kerajaan menggantung siasatan, selain turut mencadangkan agar kerajaan menyediakan prosedur ‘fast track’ untuk menyambung siasatan sekiranya berlaku pelanggaran janji oleh pengeksport.

Mengulas Fasal 7 yang mewajibkan kajian semula duti setiap kali tempoh hampir tamat, Dr Ahmad Fakhruddin berkata langkah itu berupaya memberi jaminan kepastian kepada industri tempatan.

Namun begitu, beliau memberi amaran bahawa pelaksanaan secara automatik boleh menimbulkan masalah besar.

“Pertama, MITI dan pihak berkuasa penyiasat perlu ada kapasiti sumber manusia dan kewangan yang mencukupi. Proses kajian ini rumit, boleh mengambil masa sehingga 18 bulan melibatkan soal selidik pengeksport asing, pengimport dan kerajaan luar.

“Kedua, kos tinggi bukan sahaja kepada kerajaan tetapi juga industri yang terpaksa membekalkan data tanpa justifikasi kukuh.

“Ketiga, ia boleh mendorong perlindungan berlebihan sehingga menaikkan harga barang asas seperti simen, menekan sektor pembinaan dan pengguna akhir,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar Malaysia tidak dilihat mengamalkan dasar proteksionis berlebihan yang bercanggah dengan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Kerajaan perlu seimbang antara kepentingan melindungi industri tempatan dengan kepentingan pengguna. Laporan tahunan setiap kajian semula wajib dikemukakan kepada Parlimen beserta data sokongan dan justifikasi.

“Yang paling penting, kerajaan mesti ada strategi jangka panjang memastikan industri tempatan tidak bergantung kepada perlindungan berpanjangan, sebaliknya membina daya saing melalui inovasi, produktiviti dan kualiti,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -