‘Cuba lulus URA titik tolak K’jaan Madani bakal tumbang’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 sebagai antara RUU paling banyak menerima bantahan rakyat dari segenap lapisan sejak ia dibentangkan di Parlimen.

Beliau berkata, penolakan terhadap RUU berkenaan bukan sahaja datang daripada rakyat biasa, malah turut disuarakan pihak berkepentingan termasuk pemaju perumahan, kakitangan kerajaan dan agensi terlibat dalam pembangunan bandar.

“Daripada mula hasrat itu disebut, kita dapati rakyat mula menyatakan bantahan bukan saja rakyat biasa tapi pihak-pihak yang berkenaan termasuklah pemaju-pemaju perumahan yang pertikaikan tempoh 30 tahun.

“Kenapa 30 tahun sedangkan jangka hayat bangunan itu sampai 100 tahun. Bayangkan 30 tahun baru habis hutang, tiba-tiba bangunan yang dibayar, tiba-tiba kerajaan buat keputusan untuk roboh.

“Kalau anda kena sebagai pembeli rumah tersebut macam mana keadaan pada waktu itu? Kita baru selesai hutang 30 tahun, tiba-tiba kerajaan buat keputusan bangunan itu akan dirobohkan,” ujarnya dalam sidang media di Parlimen, di sini hari ini.

Beliau berkata, perkara itu menunjukkan bantahan yang sangat meluas dalam kalangan rakyat, bukan sahaja rakyat biasa, malah kakitangan kerajaan, pemaju perumahan dan pelbagai agensi yang terbabit dalam usaha pembangunan bandar.

Selain itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut membangkitkan isu ketelusan kerajaan dalam melaksanakan kerangka rang undang-undang berkenaan.

“Dalam konteks dalam kerangka rang undang-undang ini, kerajaan tidak telus, kerajaan berbohong, kerajaan tidak jelas yang mengatakan bahawa dia telah melakukan satu perundingan libat urus dengan semua pihak.

“Tapi bila dia bentang saja, kita tengok pelbagai pihak bantah. Maknanya betul ke dia melakukan libat urus dengan semua pihak? Sebab banyak pihak-pihak yang bantah.

“Tidak mustahil kalau dia cuba luluskan juga rang undang-undang ini, saya rasa rakyat akan berkumpul bantah besar-besaran dan tidak mustahil ini jadi titik tolak kepada tumbangnya Kerajaan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -