RUU URA 2025: Anak muda negara bakal merempat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, Kerajaan Madani menekan golongan anak muda melalui pelaksanaan dasar serta cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

Beliau berkata, perkara pertama yang dilakukan kerajaan adalah menaikkan kos sara hidup sehingga memberi tekanan kepada anak muda yang baru membina kehidupan berkeluarga.

“Mari kita tengok bagaimana Madani bekerja. Pertama mereka menaikkan kos sara hidup anak muda yang baru nak berjinak dalam hidup berkeluarga terpaksa ditekan hidupnya dengan kos-kos yang tidak perlu.

“Harga barang naik, harga makanan naik, harga rumah naik. Itu kerja pertama mereka,” ujarnya dalam himpunan serahan memorandum bantah URA di hadapan pintu masuk Parlimen, di sini hari ini.

Menurutnya, anak muda juga secara perlahan-lahan diusir keluar daripada bandar meskipun mereka terpaksa bekerja di kawasan itu.

Jelasnya, keadaan itu akhirnya menyebabkan anak muda gagal memiliki aset dan kediaman di bandar, lebih-lebih lagi selepas URA dilaksanakan.

“Apabila URA dilaksanakan percayalah dalam tempoh lima ke 10 tahun kita akan nampak anak muda menjadi miskin, anak muda akan merempat.

“Anak muda akan terus menyewa, anak muda tidak akan memiliki sebarang tanah di bandar. Kenapa? Sebab liciknya Madani ini. Inilah kerja mereka,” tempelaknya.

Beliau mendedahkan, URA adalah salah satu cara Kerajaan Madani membalas dendam terhadap anak muda yang tidak menyokong mereka pada pilihan raya lalu.

“Madani adalah kumpulan yang menolak anak muda, Madani adalah orang yang menekan anak muda, Madani adalah orang yang ingin membuang anak muda daripada dunia di tengah-tengah bandar.

“Kerana apa? Kerana anak muda pada pilihan raya lepas tidak menyebelahi Madani. Maka URA adalah salah satu akta untuk balas dendam kepada anak muda,” kupasnya.

Khairul Nadzir turut menegaskan bahawa anak muda tidak boleh terus percaya dengan janji Kerajaan Madani dan pemimpin DAP.

“Cukup-cukuplah rasa selamat dengan segala momokan daripada PH Madani dan juga Nga Kor Ming DAP ini. Mereka hanya bersandiwara, mereka tidak tegas untuk menaikkan taraf hidup kita. Mereka penipu, mereka berbohong, mereka menekan kita,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa anak muda bangkit menentang kerajaan yang dianggap menekan rakyat.

“Kita perlu bersama-sama menyedarkan, kita takkan biarkan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang anak muda menjadi miskin di bawah Kerajaan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -