RUU URA 2025: Tanah wakaf juga bakal jadi mangsa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rafidah Ibrahim menggesa kerajaan menghentikan bacaan kedua Rang Undang-undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kerana ia akan terus menzalimi rakyat.

Aktivis dan penduduk asal Flat Kampung Sungai Baru itu berkata, URA bukan hanya memberi kesan kepada orang Melayu, sebaliknya turut membabitkan kaum lain termasuk Cina dan India di seluruh negara.

“Hari ini kita datang untuk hantar memorandum kepada Parlimen untuk menghentikan bacaan kedua URA. Sebab kita tak nak rakyat terus dizalimi dan ditindas.

“Ini bukan sahaja terkesan kepada orang Melayu tetapi Cina, India, semua rakyat Malaysia akan terkesan kerana dalam terma, dalam URA dia menyatakan hanya kawasan ‘heritage’ sahaja yang terpelihara.

“Maksudnya kawasan wakaf, tanah wakaf juga tak mustahil akan kena benda yang sama,” ujarnya dalam himpunan serahan memorandum bantah URA di hadapan pintu masuk Parlimen di sini hari ini.

Rafidah memberi contoh isu Kampung Sungai Baru yang kini berdepan pengambilan tanah, dan memberi amaran perkara sama boleh berlaku di banyak kawasan lain jika URA diluluskan.

“Kalau sebelum ni tengok isu di Kampung Sungai Baru. Jangan terkejut kalau URA ini telah pun diluluskan, akan ada lebih banyak lagi isu-isu macam Kampung Sungai Baru di seluruh Malaysia. Jadi kita kena tolak URA.

“Kalau kita nampak hari ini yang bersama dengan kita adalah Ahli Parlimen pembangkang, kita nak kerajaan hentikan sebab kerajaan berkuasa untuk menghentikan semua ni.

- Advertisement -

“Saya diberitahu Ahli Parlimen kerajaan pun ada. Tetapi Nga Kor Ming ada tak dengan kita? Dia yang buat usul ini. Dia boleh menghentikan benda ni.

“Kalau siapa yang dah tengok draf URA, kat sini kuasa akan diambil alih oleh KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Maksudnya akan mengenepikan kuasa Agong ataupun kuasa Sultan kita,” kupasnya.

Beliau menegaskan rakyat akan terus berada di hadapan Parlimen sehingga memorandum diterima menteri.

“Kita kena hentikan URA ni. Ingat ya semua, menteri-menteri yang ada dekat dalam Parlimen tu, kita sebagai rakyat yang letak dia dekat dalam kerusi tu. Jadi kuasa kat siapa? Rakyat,” jelasnya.

Menurut Rafidah, rakyat berhak menukar wakil rakyat yang gagal membela kepentingan mereka.

“Kalau hari ini dia duduk dekat kerusi tu dia tak boleh nak buat kerja baik, kita ambil Ahli Parlimen yang ada sekarang dengan kita. Jadi saya harapkan kalau menteri dalam kerajaan tak boleh nak ‘stop’ URA ni, kami rakyat akan berterusan membantah URA,” terangnya.

Katanya lagi, undang-undang sedia ada pun sudah menindas rakyat, dan URA hanya akan memperluaskan pengambilan tanah. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -