Kor Ming menteri kepada rakyat atau pemaju?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 terus mencetuskan kebimbangan rakyat apabila ia dilihat bakal menguntungkan pemaju dan menindas rakyat marhaen.

- Advertisement -

Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, keputusan Kerajaan Madani menetapkan ambang usia 30 tahun bagi sesuatu bangunan untuk diroboh dan dibangunkan semula adalah tidak munasabah dan menindas rakyat.

“Kalau jangka hayat bangunan dikatakan 70 hingga 100 tahun, mengapa 30 tahun dijadikan garis mula pembaharuan? Siapa yang untung? Jawapannya mudah, pemaju,” tegas beliau.

Beliau memberi contoh seorang penjawat awam yang membeli rumah pada usia 24 tahun, tetapi pada usia 54 tahun dan 84 tahun, rumah tersebut boleh dirobohkan dua kali di bawah akta ini.

“Pinjaman asal rumah pun belum habis bayar, tiba-tiba rumah boleh dirobohkan. Ketika umur 54 tahun, adakah bank mahu beri pinjaman semula? Mustahil. Akhirnya mereka terpaksa menyewa dan selepas pencen, terpaksa pulang ke kampung kerana tidak mampu memiliki rumah di bandar,” ujarnya.

Tambah beliau, implikasi daripada akta ini bakal menyebabkan golongan B40 khususnya terhimpit sehingga terkeluar dari bandar, manakala bandar hanya akan menjadi tempat tinggal golongan T20.

Menurut beliau, URA akan membina jurang ekonomi yang lebih besar antara bandar dan luar bandar. “Ini bukan soal pembangunan, tetapi soal survival rakyat. Apabila rumah dirobohkan, pampasan yang diberi tidak sepadan dengan harga pasaran rumah baharu. Rakyat akhirnya dipaksa keluar dari bandar,” katanya.

Nurul Islam turut mempertikaikan perbandingan yang dibuat Menteri KPKT, Nga Kor Ming dengan projek 1Razak Mansion.

“Projek itu dilaksanakan ketika era DS Najib dengan syarat persetujuan 100 peratus. Bukan 80 peratus seperti dalam RUU URA. Jangan samakan,” jelas beliau.

Beliau juga membidas sikap keras kepala Menteri yang tetap mahu membentangkan bacaan kali kedua RUU URA meskipun Jawatankuasa Pilihankhas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen, yang dianggotai wakil pelbagai parti, telah sebulat suara meminta ia ditangguhkan.

Beliau turut mempersoalkan sikap Ahli Parlimen Umno yang dilihat tidak bersama menyatakan bantahan seperti dilakukan oleh wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Nurul Islam menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti supaya bersatu menolak RUU URA yang jelas hanya menguntungkan pemaju.

“Rakyat jangan diperjudikan. Jangan biarkan bandar hanya jadi milik orang kaya. Ini akta yang zalim dan mesti ditolak,” tegasnya. – HARAKAHDAILYY 26/08/25

- Advertisement -