
PADANG BESAR: Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli merasmikan Program Bicara Ilmu anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Daerah Padang Besar yang berlangsung di Dataran Tasik Melati kelmarin.
Program berkenaan menampilkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya sebagai penceramah dengan kupasan bertajuk ‘Merdeka Pada Jasad, Jauhi Najis Dadah’.
Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada pesara-pesara tentera dari Persatuan Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Negeri Perlis yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar.
Hadir sama, Pengerusi PEMADAM Padang Besar, Wan Badariah Wan Saad dan Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Mohammad Azmir Azizan serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.
Juga Yang Dipertua Persatuan Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Perlis, Azemi Dzakaria dan isteri Menteri Besar, Najwa Othman.
Dalam ucapannya, Mohd Shukri menegaskan kepentingan meluaskan penganjuran majlis ilmu di pelbagai lokasi supaya lebih ramai masyarakat dapat hadir.
“Majlis ilmu ni kita buatlah macam mana pun, tak semestinya terikat di surau atau masjid. Kalau buat macam ni, orang boleh mai ramai. Saya ucapkan terima kasih kepada veteran tentera yang hadir,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu keadilan buat Allahyarhamah adik Zara Qairina Mahathir serta menzahirkan rasa syukur atas solidariti rakyat Perlis kerana bangkit menuntut keadilan dalam himpunan Justice For Zara yang diadakan pada Sabtu malam.
“Sebenarnya kita kasih sungguh dekat dia, kita nak keadilan untuk dia, saya semalam dijemput tapi bertembung, kawan-kawan daripada Terengganu dan Kelantan mai, depa mai dua hari dah, jadi saya nak tinggai depa sebagai tetamu tak elok la.
“Arwah dah meninggal, tapi kita yakin bahagia Zara di sana. Insya-Allah dia boleh memberi syafaat buat ibunya, kita tak mau perbuatan buli,” ujar beliau.
Menyentuh isu dadah, Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang menzahirkan kebimbangan terhadap statistik penagihan di negeri ini.
“Kita tak mahu rakyat terjebak dengan dadah. Malah Perlis juga tinggi kadar obesiti. Kita cukup makan, tapi jangan sampai kena diabetes. Jaga kesihatan baik-baik, jaga keluarga kita daripada dadah,” katanya.
Beliau yang juga merupakan bekas pendidik di sekolah melahirkan rasa sedih apabila ada dalam kalangan bekas anak muridnya terjebak dengan najis dadah.
“Saya sebenarnya sedih juga, bila AADK turun ke kampung-kampung jumpa dengan bekas-bekas penagih yang kita duk pantau, yang duk kena ‘report’, bila pi tengok anak-anak murid saya belaka, kita sedih la, dulu duk main bola dengan kita, tiba-tiba bila besar dia terlibat dengan dadah.
“Ketum dulu, lepas tu sambung dengan dadah lain. Maka kita kena jaga, bukan saja anak kita, tapi juga anak jiran kita,” tegasnya mahu usaha mengatasi dadah dipergiatkan.
Menteri Besar menzahirkan penghargaan kepada PEMADAM yang disifatkan sebagai badan bukan kerajaan (NGO) berperanan penting dalam memberi kesedaran kepada masyarakat.
“PEMADAM ni satu agensi dan NGO yang cukup baik. Kita harap dapat tingkatkan lagi aktiviti sebegini supaya rakyat lebih sedar dan kita dapat jaga negeri ini sebaiknya.
“Kita nak jaga negeri ni bagi elok rakyat pun kita nak bagi dia selesa, senang dan bahagia, duduk sekali bersama,” tambah beliau.
Mohd Shukri turut berterima kasih kepada Ustaz Ahmad Yahaya yang hadir memberi pengisian ilmu, sambil menyarankan agar program seumpama ini diadakan secara berkala di Perlis. – HARAKAHDAILY 26/8/2025












