
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan pihaknya bersama 68 Ahli Parlimen pembangkang akan menentang Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat esok.
Ketua Whip Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata, walaupun ia hanya sebuah rang undang-undang yang kecil, namun kesannya adalah menyeluruh terhadap seluruh nadi rakyat dan juga nyawa rakyat.
“Dalam Parlimen pada hari Khamis yang lepas, Menteri Nga Kor Ming telah membentangkan Rang Undang-undang ini untuk bacaan kali pertama. Kami pembangkang telah membantah ketika itu supaya ia ditarik balik dan ditangguh.
“Antaranya kerana dalam Parlimen ada satu Jawatankuasa Pilihan Berkaitan Infrastruktur dan Pengangkutan yang dipengerusikan Ahli Parlimen kerajaan dari Tanjung Manis, Sarawak.
“Jawatankuasa ini telah menulis surat kepada Nga Kor Ming supaya bil ini ditangguh dan ditarik balik, tetapi tidak dihiraukan oleh Nga Kor Ming yang samseng inilah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menerima serahan memorandum bantah RUU URA daripada pelbagai NGO seluruh negara di hadapan pintu masuk Parlimen, di sini hari ini.
Menurut beliau, menteri berkenaan mendakwa URA mendapat sokongan kerajaan negeri kerana hal tanah dan kerajaan tempatan adalah kuasa negeri.
“Namun, hari ini saya nak tunjuk kepada tuan-tuan, empat negeri di bawah SG4 (Kerajaan empat negeri) iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, semua Menteri Besar menolak URA ini.
“Kita faham negeri-negeri yang diterajui Umno seperti Pahang, Perak, Melaka dan Johor, adakah mereka mahu berdiam diri untuk tidak menentang akta zalim ini?” soalnya.
Setiausaha Agung PAS itu turut menegaskan, URA mengambil bukan sahaja kuasa negeri, malah kuasa Raja-raja Melayu serta Yang di-Pertuan Agong.
“Dalam URA ini, pihak berkuasa negeri (state authority) diistilahkan merujuk kepada Raja dan Yang Dipertua Negeri (Gabenor). Tetapi untuk Kuala Lumpur, Menteri Kerajaan Tempatan pula menjadi ‘state authority’ bagi Wilayah Persekutuan.
“Ini bercanggah dengan Perlembagaan, Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah dan Akta Hak Milik Strata, semua undang-undang dilanggar oleh Nga Kor Ming,” tempelaknya.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan PN akan berjuang mempertahankan hak rakyat dengan menolak URA, walaupun mengakui pembangkang mungkin tidak mampu menang tanpa sokongan rakyat.
“Kalau hari ini satu hari sebelum URA dibentangkan tuan-tuan boleh hadir, bolehkah beri jaminan kepada kami Ahli Parlimen esok kita datang lebih ramai lagi? Tanpa mengira kaum, bangsa atau ideologi politik, semuanya perlu menentang akta yang zalim ini.
“Mungkin mereka menggunakan kelebihan majoriti, ‘tyranny of majority’. Mereka akan meluluskan ‘Urban Robbery Act’ seperti mana Datuk Iskandar kata bukan ‘renewal act’ itu ‘robbery’ perompakkan dalam bandar.
“(Ia) merompak harta orang miskin untuk diberikan kepada orang kaya. Yang mempertahankan orang kaya adalah kerajaan ‘madayanon’, ‘madayanon’ itulah yang bodoh,” tempelaknya lagi.
Takiyuddin turut mengingatkan bagaimana Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah digelar pejuang rakyat ketika menangani isu rakyat miskin di Pelabuhan Klang dan Tasik Utara, Johor, namun kini berubah.
“Dulu siapa tak kenal Anwar Ibrahim pejuang rakyat? Tapi tengoklah Madayanon Anwar sekarang ini, apa yang dia buat?” soalnya.
Menurutnya lagi, PN menuntut supaya URA ditarik balik, tidak dibahaskan dan tidak diluluskan dalam sidang esok.
“Kalau mereka tak tarik, kita tak kisah nak gantung enam bulan pun gantunglah. Kita akan menentang sehabis-habisnya esok. Sokongan rakyat adalah kekuatan kami, semangat juang kami yang akan dibawa masuk.
Takiyuddin menegaskan, penentangan terhadap URA menjadi titik tolak kepada kejatuhan sebuah kerajaan yang zalim serta mungkir janji.
“Inilah kerajaan yang mengatakan mereka Madani. Madani ini tamadun tapi kita menggunakan ‘madayanon madanon’ yang bodoh.
“Saya menerima semua memorandum daripada rakyat hari ini dan kita akan bawa segala idea, pandangan, teguran serta gesaan supaya didengar oleh kerajaan.
“Esok yang mengundi bersama kerajaan adalah pengkhianat, manakala yang bersama rakyat adalah pejuang rakyat. Insya-Allah kami akan bersama rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025











