URA bukan bantu rakyat, hanya alasan raih untung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Iskandar A Samad menegaskan, Rang Undang-undang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) bukan bertujuan membantu orang Melayu atau golongan miskin, sebaliknya hanya menjadi alasan untuk pihak tertentu meraih keuntungan.

Beliau menolak tuduhan bahawa pihak yang menentang URA dianggap anti orang miskin atau anti orang Melayu kerana menurutnya, tiada satu pun peruntukan di dalam rang undang-undang itu yang menjamin kepentingan mereka.

“Ada yang menuduh kita yang menentang URA ini anti orang miskin, anti orang Melayu. Tetapi kalau kita lihat pada hakikatnya, adakah di dalam URA ini terdapat peruntukan untuk membantu orang Melayu? Adakah di dalam peruntukan-peruntukan URA ini terdapat peruntukan untuk membantu orang miskin?

“Kenapa saya berkata sedemikian, oleh kerana tidak ada kuota Bumiputera dalam URA. Tidak ada kuota rumah mampu milik di dalam URA. Kalau mereka nak bina rumah untuk orang kaya mereka boleh. Mereka nak bina rumah untuk orang daripada luar negara, daripada China, daripada Singapura, daripada Taiwan mereka boleh,” ujarnya.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) itu berkata demikian dalam himpunan serahan memorandum bantah URA di hadapan pintu masuk Parlimen, di sini hari ini.

Menurut Iskandar, dakwaan bahawa hanya melalui URA rumah-rumah kos rendah dapat dibaik pulih adalah tidak benar kerana kerajaan negeri sebelum ini telah menyalurkan dana besar bagi tujuan tersebut.

“Dan mereka kata bahawa kita tidak mahu membantu orang miskin kerana hanya dengan URA mereka dapat membaik pulih rumah-rumah tersebut. Ini tidak benar.

“Ketika saya Exco di dalam kerajaan negeri Selangor selama 10 tahun, kita telah membelanjakan lebih RM100 juta untuk membantu dan membaik pulih rumah-rumah ataupun flat-flat kos rendah,” tempelaknya.

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa URA tidak pernah ditujukan untuk menjaga kepentingan rakyat, sebaliknya hanya menguntungkan pihak tertentu.

“Jadi URA ini hanyalah satu alasan untuk mendapatkan keuntungan. Bukan alasan atau bukan tujuannya untuk membantu orang Melayu. Bukan tujuannya adalah untuk membantu orang miskin.

“URA itu apa? Bukan Urban Renewal Act, tetapi Urban Robbery Act,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -