
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta tahun ini bagi membantu usahawan belia melalui Dana Usahawan Terengganu (DUTE) dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal.
Dato’ Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memastikan belia berpeluang membina perniagaan sendiri selain memiliki kemudahan mobiliti untuk menjana pendapatan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri itu berkata, daripada jumlah itu, RM1.6 juta disalurkan kepada DUTE, dengan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima RM50,000.
“Tujuan utama peruntukan dana DUTE ini adalah memberi suntikan modal awal kepada usahawan belia untuk memulakan perniagaan dan membantu mereka meningkatkan peralatan dan operasi.
“Selain, memperkukuhkan perniagaan kecil ke tahap yang lebih berdaya saing serta menembusi pasaran baharu, serta menjadi landasan kepada belia untuk membina empayar perniagaan mereka sendiri.
“Saya yakin bantuan ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan belia yang berdaya tahan,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran DUTE dan Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal, Hotel Paya Bunga, di sini semalam.
Sementara itu katanya, Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal melibatkan peruntukan RM800,000, dengan pinjaman RM5,000 setiap seorang kepada lima penerima di setiap DUN, membabitkan 160 belia di seluruh negeri.
“Skim ini penting kerana ia membantu belia khususnya mereka yang terlibat dalam sektor gig, penghantaran, usahawan mikro serta aktiviti keusahawanan, agar lebih mudah bergerak dan meningkatkan pendapatan mereka.
“Membantu golongan belia memiliki kenderaan yang lebih mudah, murah dan praktikal. Selain meringankan beban kos sara hidup. Inisiatif hari ini bukanlah berdiri sendiri. Ianya adalah kesinambungan daripada usaha kerajaan sebelum ini.
“Iaitu melalui pelbagai program dan aktiviti keusahawanan disamping bantuan kemudahan yang disediakan kepada usahawan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat.
Menurut Ariffin lagi, kerajaan negeri sebelum ini turut menyalurkan bantuan melalui Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) dengan pembiayaan melebihi RM30 juta kepada lebih 5,000 penerima sejak 2019. – *HARAKAHDAILY 25/8/2025*




















