Wanita PN Selangor tekad siap siaga menuju PRU16

- Advertisement -

SHAH ALAM: Wanita Perikatan Nasional (PN) Selangor menyerlahkan tekad untuk mendepani cabaran politik menuju Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dengan memperkukuhkan ikatan antara Muslimat PAS dan Srikandi BERSATU negeri ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu satu pertemuan mahabah yang turut dihadiri Ketua-ketua Muslimat PAS dan Srikandi BERSATU seluruh Kawasan dan Bahagian dalam negeri ini telah dilangsungkan di Pejabat Muslimat PAS Selangor, di sini kelmarin.

Pertemuan dipimpin Ketua Muslimat PAS Selangor, Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dan Ketua Srikandi BERSATU Selangor, Sharifah Rosliza Syed Othman ini turut mempersiapkan kerjasama kedua pihak untuk terus berpadu tenaga dalam satu saf perjuangan.

Dalam kenyataan bersama kedua-dua pemimpin, mereka mahu membuktikan kesiapsiagaan Wanita PN Selangor agar memastikan sekurang-kurangnya 35 kerusi Dewan Negeri dapat dimenangi pada PRU16 nanti dan membawa PN mentadbir Kerajaan Negeri Selangor.

Menerusi majlis tersebut, barisan kepimpinan baharu diperkenalkan dan dipereratkan hubungan sesama mereka, seterusnya bakal menyelaraskan gerak kerja bersama di peringkat Parlimen masing-masing.

“Pertemuan ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh silaturahim, tetapi juga medan menyusun strategi, memperkemas gerak kerja dan menyatukan visi perjuangan di bawah panji PN.

“Semoga ikatan yang dibina ini terus kukuh dan menjadi pemangkin kemenangan besar PN di Selangor nanti,” ujar mereka. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -