100,000 menganggur: Tak berasas, tersasar data

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menafikan dakwaan kononnya terdapat 100,000 belia di negeri ini yang menganggur dan menyifatkan angka tersebut sebagai tidak berasas serta jauh tersasar daripada data rasmi kerajaan.

- Advertisement -

​Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri, Wong Chia Zhen berkata, berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Kedah telah menunjukkan penurunan konsisten dan berada pada tahap 1.7 peratus pada Suku Keempat 2024.

​Menurutnya, dengan jumlah tenaga buruh Kedah sekitar 1.4 juta orang, kadar tersebut hanya mewakili kurang daripada 23,000 orang penganggur di seluruh negeri dan merupakan antara yang terendah di Malaysia.

​“Dakwaan kononnya terdapat 100,000 belia Kedah menganggur adalah jauh tersasar dan tidak selari dengan fakta rasmi kerajaan. Persoalannya, dari mana angka 100,000 itu diperoleh?

“Adakah ianya hasil pengiraan rasmi atau sekadar andaian politik untuk menakut-nakutkan rakyat?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

​Beliau menambah, kerajaan negeri sentiasa komited memperkukuhkan modal insan melalui kerjasama erat dengan agensi Persekutuan seperti Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Termasuk maklumnya, bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Tenaga Kerja untuk mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.

​Katanya, program peningkatan kemahiran dan penganjuran karnival kerjaya akan terus dipergiatkan untuk menurunkan lagi angka pengangguran.

​Wong turut memberi amaran bahawa tindakan menyebarkan angka tidak benar adalah berniat jahat dan boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta mencemarkan nama baik negeri.

​“Sekiranya wujud isu sebenar yang perlu diberi perhatian, saya sedia bekerjasama dengan Yang Berhormat (YB) Menteri Sumber Manusia demi kepentingan rakyat Kedah.

“Namun, menyebarkan angka tidak benar adalah tindakan berniat jahat,” tegasnya.

​Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dan berpandukan fakta rasmi, bukannya fitnah atau propaganda, selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk merealisasikan visi The Greater Kedah.

Kelmarin, Himpunan Honggaq Kedah menghantar memorandum kepada Kerajaan Negeri yang antaranya menyentuh berkaitan kegagalan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 100,000 anak muda negeri itu yang masih menganggur dan banyak bekerja di luar negeri berkenaan.

Memorandum tersebut menggariskan 10 kegagalan utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta menuntut tindakan segera Kerajaan Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -