Platform rasmi UUM disalah guna untuk tujuan politik

- Advertisement -

KUBANG PASU: Pentadbiran Universiti Utara Malaysia (UUM) diberi peringatan agar segera menghentikan penyalahgunaan platform rasmi universiti itu untuk tujuan politik, yang disifatkan telah mencemarkan nama baik institusi tersebut.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi Negeri,​ Profesor Dr Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya sudah lama memerhatikan bagaimana pentadbir UUM sanggup menggunakan laman rasmi universiti untuk bermain politik.

​Dalam satu kenyataan semalam, Haim Hilman memberi amaran bahawa beliau masih belum mendedahkan bukti serta rekod penglibatan politik mereka yang dinyatakannya boleh membuka mata banyak pihak.

​“Saya masih belum mendedahkan bukti serta rekod penglibatan politik mereka, namun jangan sampai saya memulakan siri pendedahan sedemikian,” katanya.

​Menurutnya, tindakan pentadbir universiti melibatkan diri secara terbuka dalam politik bukan sahaja menyalahgunakan kedudukan, malah telah menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pensyarah, staf pentadbiran, dan pelajar UUM sendiri.

​Ujarnya, akibat daripada penglibatan dalam isu tersebut, UUM telah dikecam hebat oleh orang ramai sehingga terpaksa menutup ruangan komen di media sosialnya.

​“Perkara ini benar-benar telah menjatuhkan maruah dan imej UUM di mata masyarakat,” tegasnya yang juga merupakan bekas Naib Canselor UUM sebelum ini.

​Walaupun tetap menghormati UUM sebagai sebuah institusi yang telah banyak berjasa kepadanya, Haim Hilman menegaskan bahawa pentadbir utama universiti wajib kembali kepada prinsip neutral dan profesional.

​“Demi menjaga kewibawaan universiti, pentadbir utama mesti kembali kepada prinsip neutral, profesional dan menjaga amanah ilmu, bukan menjadi alat politik parti tertentu,” ujarnya.

Terdahulu laman Facebook Universiti Utara Malaysia memuat naik status yang menulis ‘Tuduhan Dr Haim Hilman tidak benar’ dengan berkongsi kenyataan media isu pelajar Bangladesh dari Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dr Haim sebelum ini membangkitkan isu berkaitan 10,000 mahasiswa dari Bangladesh akan diberikan peluang pekerjaan di Malaysia pada Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah, 21 Ogos lepas.  – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -