Aplikasi Rapid On Demand tiada pilihan Bahasa Melayu

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Menteri Kewangan digesa memberikan penjelasan segera berhubung kegagalan aplikasi Rapid On Demand yang diuruskan oleh Prasarana Malaysia Berhad untuk menyediakan pilihan bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu, sejak ia dilancarkan.

- Advertisement -

Pengarah Penerangan PAS Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid berkata, tindakan itu bukan sekadar kecuaian teknikal, bahkan dilihat sebagai bentuk penghinaan terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang jelas meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Mengapa sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berada di bawah Kementerian Kewangan, dan dibiayai oleh wang rakyat, gagal melaksanakan tanggungjawab asas ini? Apakah slogan Malaysia Madani hanya tinggal retorik kosong seperti janji reformasi institusi dalam manifesto PH?” bidasnya.

Menurut beliau, kegagalan menyediakan aplikasi dalam bahasa kebangsaan sejak hari pertama pelaksanaannya memberi isyarat salah kepada masyarakat bahawa bahasa Melayu tidak penting.

“Adakah Menteri Kewangan mahu memberi gambaran bahawa bahasa Inggeris lebih utama dalam perkhidmatan awam negara ini? Jika kerajaan sendiri tidak menghormati kedudukan bahasa kebangsaan, bagaimana kita mahu mengharapkan pihak swasta dan masyarakat untuk menghargainya?” ujarnya lagi.

Beliau turut mempersoalkan pihak mana yang meluluskan pelaksanaan aplikasi berkenaan tanpa menekankan aspek bahasa kebangsaan, sedangkan ia digunakan ribuan pengguna setiap hari dan menegaskan bahawa isu ini bukan perkara kecil kerana ia menyentuh maruah bangsa dan kedaulatan negara.

“Menteri Kewangan tidak boleh berdiam diri, ini bukan isu kecil tetapi isu maruah dan kedaulatan negara. Aplikasi yang digunakan ribuan pengguna setiap hari mestilah menampilkan bahasa kebangsaan sebagai pilihan utama bukan sekadar tambahan atau hiasan.

“Apakah makna kemerdekaan jika bahasa penjajah masih diagung-agungkan sedangkan bahasa bangsa sendiri dianggap kelas kedua oleh Madani?” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan agar berhenti bermain retorik sebaliknya menunjukkan kesungguhan dalam menghormati bahasa kebangsaan.

“Rakyat Malaysia berhak marah dan menuntut penjelasan segera. Mengapa aplikasi Syarikat yang berkaitan kerajaan tidak meletakkan Bahasa Melayu sebagai teras?” tegas beliau. – HARAKAHDAILY 26/8/2025

- Advertisement -