
TANGGAL 23 Ogos, PAS telah melepasi tempoh 74 tahun di medan operasi masyarakat dengan rangkuman sayapnya menjangkaui sektor siasah, dakwah dan tarbiah negara ini. Keberadaan PAS sangat dirasai oleh massa dalam tiga segmen ini malah inilah relevansi PAS sebagai pemain utama politik negara ini, sekali gus menempa nama di persada antarabangsa.
Harakatul ummah ini sinonim dengan gerak kerja kebajikan, singgah di dalam hati masyarakat melalui kebajikan yang bersalut gerak kerja dakwah. Sosok pimpinan PAS sentiasa berada di lapangan kebajikan, menyantuni masyarakat tanpa menunggu tempoh pilihan raya ataupun menjadi pelakon sinetron khas apabila adanya pemilihan parti mahupun pilihan raya.
Tempoh meredah belantara perjuangan sepanjang 74 tahun ini bukanlah tempoh masa yang singkat; hamparan mehnah dan ibtila’ mewarnai denai perjalanan ini.
Geger bulan ini pembenci PAS agar digugurkan perkataan Islam pada harakatul ummah ini dengan alasan mereka patah perkataan ISLAM yang digalangi pada PAS menyebabkan badan siasah ini disokong oleh massa. Mereka seolah-olah juling terhadap harakatul ummah ini yang mempunyai organisasi yang tersusun, manhaj perkaderan yang sistematik, tarbiah nizomi yang berpakej lengkap dari pra-sekolah sehinggalah peringkat pengajian tinggi.
PAS dengan lebih sejuta keahlian dan dua juta penyokong adalah aset PAS yang paling berharga. Mereka berdisiplin serta sanggup berkorban bagi mencapai aspirasi perjuangan Islam. Di mana-mana sahaja amilin PAS akan muncul jika ada bencana alam ataupun tragedi, bukan sahaja di dalam negara ini malah juga mengucur keringat di luar negara.
Mengapa PAS terus relevan kepada masyarakat jembel walaupun telah mencecah 74 tahun umurnya? Jawapan yang jujur adalah kerana parti Islam tertua ini sinonim dengan kerja kebajikan dan kemasyarakatan lantas rakyat tersentuh oleh keprihatinan petugas-petugas PAS saat mereka dalam kesusahan.
PAS di saat menang atau kalah, terus mengarusperdanakan gerak kerja kebajikan dalam harakatul ummah ini. Maka, PAS terus diingati dalam minda sedar rakyat bahawa PAS ialah sekelompok manusia yang sentiasa muncul di saat kepayahan dan kejerihan.
Ungkapan Ustaz Dato’ Idris Ahmad, “Parti ini sinonim dengan KBSM, walau nampak kecil dan lelucon namun inilah yang merapatkan jurang wakil rakyat PAS, parti PAS dengan masyarakat umum, selamanya jangan abaikan KBSM,”. Naib Presiden PAS yang juga mantan pemimpin pelajar ini mengakronimkan acara kenduri, bersalin, sakit, mati yang wajib dicaknai oleh amilin PAS di semua peringkat.
Pimpinan serta amilin PAS hadir dengan senyuman bila berlakunya tragedi banjir, kebakaran, mengurus kematian, menyantuni sang miskin dan asnaf, membaiki premis dan rumah rakyat, memeriahkan kenduri, menziarahi yang uzur dan tenat juga menyediakan tabung pendidikan untuk yang memerlukan. Biar seluruh sektor masyarakat meletakkan PAS dalam jenama kebajikan yang sangat piawai. Pimpinan PAS memacu usaha membantu rakyat, memposisikan diri sebagai tokoh kebajikan dan peduli umat.
PAS melalui sarana kebajikan memikul tanggungjawab yang besar akibat kehidupan rakyat semakin dijerut dengan kepayahan, pengangguran yang melata serta krisis ekonomi akibat kesan pandemik COVID-19.
Malah harakatul ummah ini sejak dekad 1960-an lagi telah mempunyai mekanisme untuk membantu umat; di peringkat ranting (kini dipanggil cawangan) dan tabung kebajikan bersifat one off yang diwujudkan bagi membantu ahli jemaah yang memerlukan.
Mekanisme PAS ini juga merangkumi pengurusan jenazah untuk ahli, tabung pendidikan tinggi untuk anak-anak ahli belajar di peringkat pengajian tinggi. Bukan sedikit anak-anak ahli PAS belajar di negara luar dengan tabungan kebajikan PAS di peringkat ranting ini, contohnya ke Mesir, India, Mekah dan sebagainya.
Parti ini cuba dijelekkan wajahnya dengan gelaran ‘parti tin Milo’ kerana sarana infak, sedekah, wakaf yang begitu sekali mengarus perdana dalam harakatul ummah ini sepanjang 74 tahun penubuhannya.
Rakyat secara umumnya menilai sesebuah parti politik melalui gerak kerja kebajikan dan tawaran kebajikan yang ditawarkan oleh sesebuah entiti politik.
PAS cukup menonjol dalam arena dakwah dan pencerahan ilmu. Asatizah PAS menguasai masjid, surau serta pelbagai wadah ilmu. Begitu juga dalam bidang pendidikan, seterusnya menggilap lagi kebolehupayaan PAS dalam bidang kebajikan dan kemasyarakatan.
PAS dengan sebanjaran pengalaman emas juga perlu membina visi, merancang, melaksana, memantau dan mengambil tindakan segera dalam apa jua isu kebajikan rakyat. Contohnya, dalam setahun dua ini rakyat Malaysia gelisah dengan kenaikan harga barang yang melampau, duka bertindih rakyat menyebabkan suhu politik membahang panas. Pelbagai isu yang merobek nurani umat Islam seperti bendera Malaysia terbalik, perlecehan kepada maruah Islam, isu kewarganegaraan, reinkarnasi komunisme, lonjatan hutang negara dan ratusan isu yang lain. Ratusan NGO kolaborasi PAS wajar memikirkan mekanisme membantu rakyat di lapangan, juga dengan perlunya tindakan pantas PAS menawarkan solusi kepada permasalahan rakyat.
74 tahun mentarbiah masyarakat agar menyintai berbuat kebajikan, menebar peduli sosial. Lihat sahaja kejayaan Himpunan RXZ members yang dikaitkan dengan asuhan ulama kepada rakyat Terengganu. Para pencinta sukan pemotoran negara ini tetap menabalkan negeri Terengganu sebagai tapak terbaik untuk himpunan mereka kerana sikap rakyat dan pemimpin negeri yang menyantuni tetamu. Inilah wajah PAS sebagai badan siasah dan juga pemain utama politik di negeri Terengganu. Mengajar ummah erti hidup untuk memberi!
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 26/8/2025











