RUU URA: Menteri KPKT jangan pura-pura

- Advertisement -

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming memberi jaminan pampasan kepada pemilik terbabit dalam projek pembaharuan kediaman di bawah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) akan jauh atasi nilai pasaran semasa.

Saya cabar Menteri untuk tunjuk bahagian mana dalam peruntukan Rang Undang-undang (RUU) URA yang beri jaminan itu. Malah pampasan atau pampasan mencukupi yang diperuntukkan bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan tidak wujud dalam RUU URA.

Kata-kata seorang Menteri bukan undang-undang. Tidak boleh pakai dalam mahkamah kalau pemilik yang tidak puas hati mengenai pampasan hendak ke Mahkamah.

Begitu juga mengenai mekansime ke mahkamah. Kalau tanah atau kediaman rakyat diambil Kerajaan, di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, kalau tidak puas hati dengan pampasan, ada peruntukan untuk failkan kes atau permohonan ke Mahkamah.

- Advertisement -

Di bawah RUU URA tiada perkara itu.

RUU URA hanya menyatakan akan ada tawaran faedah yang tidak kurang baiknya dari tawaran faedah yang ditawarkan sebelum projek pembaharuan. Lagi sekali tidak seperti jaminan oleh Menteri.

Pilihan pemaju pula oleh suatu jawatankuasa yang mana tidak dinyatakan apakah kriteria pemilihannya. Lagipun apakah jaminan pelantikan-pelantikan ini akan telus dan adil? Tiada peruntukan dalam RUU URA untuk perkara ini.

Bagaimana pula dengan pemaju-pemaju yang dilantik oleh jawatankuasa dan kemudiannya projek pembaharuan terbengkalai? Siapa yang tanggung kos? Apa akan jadi pada rakyat yang menunggu rumah atau  kediaman baharu mereka di bawah projek pembaharuan ini?

RUU URA ini juga terbuka pada manipulasi oleh pemaju. Tiada langsung sebarang mekanisme pemantaun sekiranya pemilik asal tidak mendapat jaminan tawaran pampasan. Siapa yang akan jamin? Menteri juga?

Kawasan pembaharuan semula terlalu luas definisinya. Ia babitkan seluruh Semenanjung dan WP Labuan. Tanah Rizab Melayu, tanah wakaf, tanah adat, tanah pertanian dan lain-lain jenis penggunaan terdedah kepada RUU URA ini.

RUU ini ancaman bukan pada orang Melayu sahaja tetapi lain-lain bangsa dan agama. Maka, cukup sudah bohong kononnya yang lawan URA ini semai perkauman. Itu sempit pemikiran.

Pengusiran halus juga akan berlaku. Contohnya B40 kalau kediaman diubah ke kondominium tiadakah caj penyelenggaraan atau common facility charges lain? Di mana jaminan bawah RUU ini?Adakah semua ini akan ditanggung oleh pemaju-pemaju yang amat baik hati dan prihatin?!

Kalau dulu bangunan 4 tingkat ada 95 peratus orang Melayu selepas URA contohnya bangunan jadi 20 tingkat dan bukan Melayu jadi 80 peratus. Bukankah ini membawa perubahan struktur komposisi masyarakat?

Menteri sangat bangga dengan Razak Mansion dan Kampong Kerinchi. Mungkin Menteri boleh bentang peratus orang Melayu di situ sebelum dan selepas pembangunan. Wujud atau tidak gentrifikasi? Sudahkah lawat kawasan Bangsar South? Ya, nama masih Kampong Kerinchi, tapi masihkah kekal ciri-ciri itu?

Kerana itulah ramai pihak bukan sahaja pembangkang malah mereka dalam Kerajaan juga menggesa penangguhan RUU ini. Isu ambang persetujuan adalah isu penting. Hak rakyat serta pemilik untuk memberi persetujuan adalah hak yang dijamin perlembagaan.

Hak ini tidak boleh diambil atau dirampas suka-suka. Apatah lagi bila jaminan itu diberi oleh Menteri sahaja tanpa betul-betul dimasuk sebagai undang-undang bertulis.

Seluruh rakyat perlu peka mengenai RUU ini. Ini bukan hanya lawan politik tetapi ianya untuk halang penindasan sistematik oleh orang-orang kaya (pemaju) terhadap rakyat.

Pihak yang betul-betul untung dan sedang tunggu laba adalah pemaju-pemaju. Hampir 139 kawasan di Lembah Klang saja telah dijadikan target mereka. Ini wang besar habuan mega bagi mereka.

Wakil rakyat dari kedua belah Dewan ada tugas untuk pertahan rakyat. Ini tidak bermaksud rakyat mesti derita atau miskin atau tidak mahu pemodenan. Ini adalah hak rakyat untuk pertahan milik mereka dan kalau mahu apa milik rakyat mesti dibayar pampasan mencukupi.

Jangan biar kita di- ‘pURA-pURA’.

MUHAMMAD RAFIQUE RASHID ALI
Peguam – HARAKAHDAILY 26/8/2025

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -