Isu TH: Marzuk sangkal kenyataan Menteri Agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Khamis lalu berhubungan kos penjenamaan semula Tabung Haji (TH) disanggah oleh wakil pembangkang.

- Advertisement -

Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pengkalan Chepa) berkata, beliau menerima maklumat yang dikatakan sulit, malah ia memerlukan jawapan kerajaan kerana menyatakan sebanyak RM5.9 juta terlibat dalam usaha itu.

Beliau mendedahkan sebelum ini sebanyak sekitar RM20 juta diperlukan bagi melaksanakan kerja tersebut, sedangkan dokumen itu mendedahkan secara tepat RM18 juta, yang dilihat bertentangan kenyataan kerajaan.

“Saya ada menerima satu maklumat yang berdokumen yang dikatakan sulit dan kalaulah maklumat ini benar, saya serah kepada Menteri untuk menjustifikasikannya bahawa jawapan Menteri Agama yang mengatakan RM5.9 juta.

“Dokumen ini menunjukkan ianya adalah sekitar RM20 juta iaitu ‘exactly’ dalam dokumen ini ialah RM18 juta. Jadi itu yang saya sebutkan sekitar RM20 juta, sedangkan Menteri bagitahu RM5.9 juta,” persoalnya.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah pada sesi persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Isu berkaitan penjenamaan semula TH ini berbangkit selepas Marzuk menyatakan sekitar RM20 juta wang simpanan pendeposit dibelanjakan untuk tujuan tersebut membabitkan tiga syarikat bukan Islam, tetapi dinafikan Na’im dengan menyatakan hanya RM5.9 juta sahaja.

Sementara itu Marzuk turut mendedahkan mengenai sekeping surat yang dihantar oleh Menteri Agama kepada mantan Menteri Agama, Dato’ Idris Ahmad mengenai 23 syarikat ketika pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, pemerintahan PN yang bermula pada Mac 2020 sehingga Ogos 2021 turut memberi kelulusan runding terus kepada syarikat bukan Islam bagi melaksanakan penjenamaan semula TH sebagaimana berlaku hari ini.

“Sedangkan bila diberi jawapan itu saya buat semakan ada di antaranya dimilik oleh sepenuhnya Bumiputera, ada dua syarikat Bumiputera, jadi tak betul dua yang tu Yang di-Pertua.

“Kemudian digambarkan bahawa itu juga kerja ‘rebranding’. Sebenarnya, ini bukan kerja ‘rebranding’, ini ‘open tender’ yang ada di zaman kami dahulu,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -