PASTI suatu institusi kosmologi Melayu

- Advertisement -

Muhammad Faiz Na’aman, penggerak NGO Rakan Nasional Moderat menggesa kerajaan meneliti institusi pendidikan PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI), yang dikelola parti PAS dengan mengatakan ia tidak wajar beroperasi secara langsung di bawah parti politik.

- Advertisement -

Ini terkait komen Faiz di Facebook terhadap kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim mengenai pelaksanaan gaji minimum RM1,700 kepada guru PASTI Sapaan ‘walaun’ kepada penyokong PN hanya humor politik jelik yang tidak budiman, iaitu akal budi dalam sudut pandangan kosmologi Melayu.

Malah mengesyorkan tindakan tegas atas indoktrinasi penternakan seusia prasekolah. Inilah rupa Melayu yang jauh sesat dan jahil agama kerana nilai budiman bangsa melalui anak-anak PASTI diajar tauhid dan akhlak serta adab sesuai peribahasa “Melentur buluh dari rebung” apabila dewasa memberi manfaat kepada ibu bapa, masyarakat, agama dan nusa.

Jauhari kenal manikam merujuk kanak-kanak institusi pendidikan vernakular dan kebangsaan hanya pandai tulis baca dan kemudian menyambung pengajian laras akademik mahupun profesional tapi masih tiada adab dan akhlak seperti rasuah, hilang integriti, gubal wang haram, ceroboh tanah awam, pasang bendera terbalik, tidak menghormati hak watan dan lain-lain.

Ini terjadi kerana kurikulum terarah pada fizik dan manual hidup. Namun anak-anak di PASTI dididik dan diasuh kejap prinsip kepercayaan kepada Tuhan bukan hanya hafal lirik lagu, puisi dan sketsa tetapi kemenjadian insan yang bersandar kepada Ilahi melalui doa dan kata agar tidak berdusta kerana ciri munafik.

Jauh daripada itu anak-anak seusia 4 hingga 5 tahun diajar kenal Allah dan Rasul serta beramal dengan perintah Allah.

Sementara kencaman terhadap institusi kendalian PAS terutama soal kebajikan tenaga pengajar, fasiliti tidak sempurna, malah tuduhan tidak didaftar suatu tusukan kepada jantung umat apabila diteliti bawah fasal 3, bahawa Islam sebagai agama Persekutuan.

Kerajaan pula dilihat gagal menambah baik perkara berbangkit baik kebajikan guru takmir, para iman dan bilal mahupun fasiliti sekolah awam khusus di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan terutama dari segi pendingin hawa, makmal ICT, surau sekolah dan sistem pembesar suara dan lain-lain.

Tambahan merealisasikannya pihak berkuasa perlu membantu dan memudahkan urusan PASTI dari segi kewangan, kebajikan guru, fasiliti sekolah termasuk keselamatan dan sistem pencegahan kebakaran kerana pelaburan dalam pendidikan tanggungjawab pemerintah seperti dana jutaan kepada sekolah vernakular meskipun menolak sukatan pelajaran kebangsaan.

Oleh itu, kecaman dan tindakan berdasarkan pola politik hanya mengundang mudarat dalam komuniti dan kemakmuran negara.

DR. ZULKEFLEE YAACOB
Psikososio @ Pakar Penasihat Wanita Kelantan – HARAKAHDAILY 25/8/2025

- Advertisement -