Pembangunan wanita: Terengganu lakar hala tuju dasar

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 menjadi wadah penting membincangkan isu berkaitan wanita serta hala tuju pembangunan golongan itu di negeri ini.

- Advertisement -

Zuraida Md Noor berkata, seminar berkenaan membuka ruang libat urus, forum dan perkongsian pandangan antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta serta masyarakat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri itu percaya, dengan penglibatan aktif semua pihak, dasar itu akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Saya juga berharap agar seminar ini menjadi medan untuk kita memperkukuh jaringan kerjasama. Seminar ini adalah satu wadah penting bagi kita memahami, membincang dan menghayati pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu.

“Dasar ini merupakan dokumen strategik yang digubal untuk memberi panduan jelas tentang hala tuju pembangunan wanita di negeri ini. Ia bukan sekadar dokumen di atas kertas, tetapi simbol komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kaum wanita diberikan ruang, hak, dan pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada program turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, Dato’ Zulkifli Ali di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Menurutnya, Dasar Wanita Terengganu memberi penekanan kepada empat teras utama iaitu melindungi, memelihara, memperkasa dan membangunkan wanita ke arah merealisasikan negeri Terengganu sebagai negeri “Maju, Berkat dan Sejahtera”.

Beliau berkata, dasar itu turut dirangka berpandukan syariat Islam selain mengambil kira Perlembagaan Persekutuan, adat resam dan budaya rakyat negeri ini, Dasar Wanita Negara dan dasar-dasar berkaitan.

Termasuk beritahunya, ratifikasi dan reservasi Kerajaan Malaysia terhadap prinsip dan pendekatan prinsip Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).

Katanya, seminar itu juga menekankan tema ‘Wanita Solehah Peneraju Bersama’ dengan visi Wanita Terengganu Pemangkin Generasi Sejahtera serta misi memperkasa wanita dengan ilmu, melindungi hak mereka dan membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab mengikut fitrah.

“Kita juga sedia maklum bahawa wanita memainkan pelbagai peranan dalam kehidupan seharian. Wanita adalah seorang ibu, seorang isteri, seorang pendidik, seorang pekerja, seorang pemimpin.

“Justeru, cabaran yang dihadapi wanita juga lebih kompleks. Ada yang perlu menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga, ada yang berdepan dengan cabaran ekonomi, ada yang berjuang untuk mendapatkan tempat dalam politik dan pentadbiran.
 
“Antara matlamat Dasar Wanita Terengganu ialah membina jati diri wanita berteraskan ilmu, iman dan akhlak; mempertahankan hak serta kemuliaan wanita; memperkukuhkan institusi kekeluargaan.

“(Juga) menjamin penyertaan dan pencapaian wanita dalam pelbagai  bidang bagi mengembangkan potensi, minat dan bakat; meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi; serta mengiktiraf suara mereka dalam proses membuat keputusan di pelbagai peringkat,” katanya. – *HARAKAHDAILY 22/8/2025*

- Advertisement -