
KUALA TERENGGANU: Wanita disifatkan sebagai aset penting negeri Terengganu yang bukan sahaja memainkan peranan dalam rumah tangga, malah turut menjadi penggerak ekonomi, tokoh akademik, ahli profesional, pemimpin politik serta penggerak masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali berkata, negeri dan negara tidak akan mampu bergerak maju tanpa sumbangan besar golongan wanita.
Menurutnya, penggubalan Dasar Wanita Terengganu lahir daripada suara, aspirasi dan keperluan wanita itu sendiri, dengan matlamat memastikan mereka menikmati peluang sama rata, perlindungan sewajarnya serta ruang luas untuk menyumbang kepada negeri.
“Kalau kita menelusuri sejarah, wanita telah lama memainkan peranan yang besar. Dari tokoh-tokoh wanita dalam sejarah Islam seperti Saidatina Aisyah RA, seorang ilmuan yang unggul.
“(Beliau) mempunyai ketokohan dan disegani membuktikan wanita mampu cemerlang dalam memberikan sumbangan. Di Terengganu sendiri, kita melihat ramai wanita yang berjaya sama ada dalam bidang pendidikan, keusahawanan, seni budaya, mahupun sukan.
“Namun, masih ada ruang untuk kita perbaiki, terutama dalam aspek keterlibatan wanita dalam membuat keputusan di peringkat negeri,” katanya ketika merasmikan Seminar Dasar Wanita Terengganu 2025 di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor.
Mengulas lanjut, beliau berkata, masih terdapat cabaran perlu ditangani termasuk aspek ekonomi, kemahiran digital, isu sosial seperti keganasan rumah tangga dan diskriminasi gender, serta keseimbangan kerjaya dengan tanggungjawab keluarga.
Katanya, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) turut memberi penekanan kepada pemartabatan wanita berasaskan konsep Islam, selain memperkasakan golongan suri rumah melalui aktiviti sosial, keagamaan dan ekonomi.
Dasar berkenaan akan digerakkan melalui 18 skop utama merangkumi agama, keluarga, keperluan asasi dan infrastruktur, keselamatan, kesihatan, hak dan undang-undang, sistem sokongan, ekonomi, kepimpinan dan politik.
Juga kesukarelawanan dan masyarakat, golongan rentan dan minoriti, jaringan, alam sekitar, teknologi maklumat, alam sekitar, kesenian, sukan dan pekerjaan.
Beliau berkata, seminar itu tidak seharusnya sekadar menjadi medan perbincangan, sebaliknya mesti diterjemah kepada tindakan konkrit oleh jabatan, agensi dan pihak berkepentingan.
“Saya menyeru agar kerajaan, NGO, ahli akademik dan masyarakat berganding bahu menjayakan agenda ini. Kefahaman dan kerjasama, sokongan dan dokongan oleh semua.
“(Usaha) melaksanakan Dasar Wanita Terengganu adalah amat penting demi kesejahteraan masyarakat dan ummah,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2025











