Jangan tukar sawah jadi sawit – Dato’ Dr Azman

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Sawit mahal sekarang YB, macam mana kalau tanah padi kita pakat tanam sawit pula?” itu antara soalan diajukan kepada kerajaan negeri yang kongsi Dato’ Dr Azman Ibrahim, namun beliau berpandangan sebaliknya.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri itu menasihatkan pemilik tanah supaya tidak menukar sawah padi kepada kebun sawit walaupun harganya sedang tinggi.

“Sebab apa nak tanam sawit? Apakah kerana kawasan sawah padi tersebut sudah tiada sistem pengairan sehingga bekalan air menjadi masalah? Kalau perparitan dan saliran masih sempurna maka saya nak ajak kita fikir beberapa perkara.

“Memang diakui tanam sawit hasilnya lebih lumayan berbanding padi. Tapi sehingga hari ini nasi masih merupakan makanan asasi. Sebab itu ada kawasan yang syarat tanahnya untuk tanam sawit dan ada pula kawasan yang dizonkan sebagai jelapang padi.

“Ini tanggungjawab pemerintah untuk buat pengaturan agar hasil keperluan seimbang dengan kehendak rakyat,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook miliknya tetap mempertahankan padi kerana nasi masih menjadi makanan utama rakyat.

Beliau berkata, selain isu makanan, penukaran sawah kepada sawit juga boleh menimbulkan masalah lain seperti menjadi tempat pembiakan tikus dan menjejaskan sistem pengairan yang sudah dirancang untuk sawah.

“Apabila tanah padi pakat tanam sawit. Dapatlah hasil sawit tapi kebun sawit akan jadi sarang dan pelindung tikus. Bila musim banjir sawah padi tenggelam air, sepatutnya perosak seperti tikus akan turut hanyut air.

“Tapi bila ada kebun sawit tepi sawah, itulah rumah tempat berkampung. Sistem pengairan sawah padi diatur untuk suatu kawasan sawah secara keseluruhan.

“Jika ada antara lot tanah yang ditebus guna untuk ditanam sawit maka ia akan menganggu kelancaran sistem pengairan. Ini belum dikira lagi tabiat orang kita suka buang pelepah sawit dalam parit yang akhirnya menyekat aliran air,” katanya.

Menurutnya, sawit yang ditanam di kawasan sawah juga berdepan kesukaran untuk mendapat Persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Kesimpulannya, kira-kira 70 peratus kawasan bertanam di Terengganu telah diliputi sawit. Tinggal 30 peratus sahaja untuk tanaman lain. Ia sudah sangat luas.

“Maka biarkanlah sawah padi terus menghijau di zon yang dikhususkan untuk tanaman padi. Jangan ganggu periuk nasi kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2025

- Advertisement -