
KUALA TERENGGANU: Terengganu mengalu-alukan kehadiran peminat motosikal RXZ dari seluruh negara sempena program RXZ Members 7.0 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kedatangan peserta dan pelancong bukan sahaja memeriahkan suasana, malah mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kekeluargaan dalam kalangan masyarakat.
“Insya-Allah, rakyat Terengganu sangat mengalu-alukan kedatangan semua peserta dan pelancong yang hadir. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja memeriahkan suasana.
“Tetapi turut mengeratkan silaturrahim serta menyemarakkan semangat kekeluargaan di negeri ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.
Beliau berkata, pelbagai pengisian disediakan sepanjang program, termasuk aktiviti komuniti, persembahan, pengisian kerohanian di surau dan masjid sekitar kawasan penganjuran.
“Kami berharap para peserta dapat sama-sama mengimarahkan pelbagai jemputan dan pengisian menarik sepanjang program yang telah diatur, dari aktiviti komuniti, persembahan, aktiviti ekonomi sehinggalah ke ruang ibadah di surau-surau dan masjid-masjid sekitar,” katanya.
Beliau juga berharap semua peserta menjaga keselamatan di jalan raya, mematuhi syariah, menunaikan solat serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di Terengganu Darul Iman.
“Semoga perjalanan tuan-tuan dan puan-puan dipermudahkan Allah SWT datang dan pulang dengan selamat, jaga solat, patuhi syariah, menjaga etika dan utamakan keselamatan di jalan raya serta membawa pulang kenangan manis dari negeri Terengganu Darul Iman,” katanya.
Untuk rekod, RXZ Member 7.0 yang dijangka menghimpunkan lebih 100,000 peserta termasuk dari luar negara akan berlangsung hari ini dan esok. – HARAKAHDAILY 22/8/2025











