
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, DAP kini mula menggerakkan propaganda bagi mendesak pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, supaya menolak PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Beliau merujuk kepada klip video diterbitkan pimpinan DAP Pusat, Lee Chin Chen, yang mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Nik Abdullah pada Konvensyen PAS Johor baru-baru ini.
Menurutnya, Mohd Amar dalam program itu menjelaskan bahawa jika PAS memperoleh antara 10 hingga 15 peratus undi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina, PAS bersama Perikatan Nasional (PN) mampu menguasai Putrajaya.
“Beliau (Lee) mengingatkan pengundi Cina agar jangan anggap apa yang dinyatakan Dato’ Mohd Amar itu sebagai mustahil dicapai, jangan tertawakan, ia bukan angan-angan kosong.
“(Ia) dalam erti kata lain Lee sendiri memperakui kiranya PAS mampu capai pertambahan undi itu, sebahagian pengundi bukan Melayu pula enggan keluar mengundi PAS dan PN memang akan kuasai Putrajaya,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Roslan berkata, dalam klip itu, Lee yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Pahang merayu masyarakat Cina supaya tetap menyokong Kerajaan Perpaduan walaupun mengakui ia mempunyai kekurangan.
Kata Roslan, pemimpin DAP itu mendakwa kerajaan kini sedang bekerja keras menangani isu ekonomi, kos sara hidup serta masalah rakyat.
“Ini menunjukkan beliau (Lee) memperakui bahawa isu dan permasalahan negara ini telah memberi kesan besar pada rakyat termasuklah pengundi bukan Melayu sehingga mampu mendorong mereka untuk sama ada keluar mengundi menolak PH-BN ataupun protes dan tidak keluar mengundi,” ulasnya.
Roslan berkata, Lee turut memberi peringatan kepada masyarakat Cina dengan mendakwa ekonomi di empat negeri ditadbir PAS ketinggalan dan sekiranya parti itu memimpin Malaysia, negara juga akan turut mundur.
Katanya, tuduhan itu jelas memperlihatkan DAP dalam keadaan terdesak sehingga mengadu-domba serta menabur fitnah kononnya PAS gagal mentadbir negeri selain dilabel sebagai parti ekstrem yang memberi mudarat kepada rakyat bukan Melayu.
“Itulah tujuan sebenar klip video berkenaan iaitu menyeru pengundi bukan Melayu agar bangkit bersatu menolak PAS,” kupasnya.
Beliau menegaskan, perkembangan itu menunjukkan suasana ekonomi dalam negara kini menjadi faktor utama yang mencetuskan kebencian rakyat terhadap PH-BN sehingga mendorong pemimpin DAP mengeluarkan video seumpama itu kerana bimbang sokongan beralih kepada PN.
“Mereka bimbang dan risau jika protes berlarutan cukup 10 peratus ke 15 peratus pengundi bukan Melayu beralih ke PN dan PAS atau protes tidak keluar mengundi, kecundanglah mereka.
“Lantas rakyat khasnya bukan Melayu mesti ditakut-takutkan agar jangan undi PAS. Kita yakin usaha memburukkan PAS ini akan dipertingkatkan dari hari ke hari.
“Propaganda jahat DAP ini mesti dipatahkan oleh PAS. Kita yakin masyarakat bukan Melayu boleh didekatkan kepada PAS, dedahkan kualiti yang ada pada pimpinan PAS, bermoral, bersih, berwibawa, berintegriti, tidak rasuah, tidak zalim dan tidak pilih kasih,” gesanya.
Roslan menegaskan, PAS bukanlah parti ekstrem seperti yang digambarkan kerana masyarakat bukan Melayu hidup aman dan selesa di empat negeri pimpinan parti itu tanpa ada yang dianiaya, dipinggirkan atau dipaksa memeluk Islam.
“Sesungguhnya bukan PAS yang ekstrem, sebaliknya DAP itulah yang rasis dan ekstrem kerana mencetuskan ketegangan antara kaum. Terus bekerja, buktikan yang bacaan DAP itu benar dan PAS serta PN insya-Allah akan mampu kuasai Putrajaya PRU ke-16 ini,” katanya.
Untuk rekod katanya, DAP tidak pernah berada dalam Kerajaan Pahang sebelum ini, namun selepas PRU-15 atas ijtihad politik Presiden Umno, parti itu kini sebahagian daripada kerajaan negeri dengan Lee turut dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN Pahang. – HARAKAHDAILY 22/8/2025











