
KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama Tuanku Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat ke Majlis Makan Malam Bersama kontinjen MSSM 2025 di Dewan 2020 di sini kelmarin.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli mengiringi baginda berdua pada majlis penuh meriah itu yang berlangsung sempena penganjuran MSSM 2025 di mana menyaksikan Perlis diberi penghormatan sebagai tuan rumah pada tahun ini.
Turut hadir isteri Menteri Besar, Najwa Othman dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan serta Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia, Ustaz Mohammad Azmir Azizan.
Temasya Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bermula pada 17 Ogos dan akan melabuhkan tirai pada 24 Ogos ini dengan menghimpunkan atlet muda dari seluruh negara.
“Tahun ini, Perlis diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi penganjuran MSSM 2025 yang berlangsung bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos 2025,” ujar beliau.
Dalam kenyataan beliau di Facebook rasminya, Menteri Besar mengalu-alukan kedatangan kontinjen dari semua negeri ke Perlis yang disifatkan sebagai negeri kecil tetapi penuh keistimewaan tersendiri.
“Saya mengalu-alukan kehadiran semua kontinjen dari seluruh negara ke Perlis, negeri yang kecil tetapi penuh dengan keistimewaan, budaya dan keramahan rakyatnya.
“Semoga sepanjang berada di Perlis, para peserta dapat menimba pengalaman berharga bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi juga dalam merasai keindahan negeri ini,” ujar beliau.
Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang turut menyeru agar MSSM dijadikan medan menonjolkan bakat, mengukuhkan semangat kesukanan serta membina persahabatan merentas negeri.
“Selamat bertanding dan selamat menikmati keindahan Perlis yang damai dan mempersona,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/8/2025












