Kelantan perkenal dapur hijau, agih benih harum manis

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan Negeri Kelantan terus memberi perhatian kepada sektor pertanian dengan menyediakan pelbagai skim sokongan seperti Dapur Hijau, Skim Usahawan Al-Falah serta pengagihan benih tanaman berkualiti kepada petani.

- Advertisement -

Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, program berkenaan bukan sahaja meningkatkan produktiviti pertanian, malah membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di kampung apabila mereka mampu menghasilkan sendiri sumber makanan di halaman rumah.

“Kalau dulu nak beli sayur kena ke kedai, sekarang dengan adanya Dapur Hijau, rumah-rumah di kampung sudah ada pelbagai tanaman sendiri. Ia sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa terutama untuk kegunaan dapur harian,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri itu berucap sewaktu majlis perasmian Program Apo Kobar Pok Tani Al-Falah (KAPOK) peringkat DUN Wakaf Bharu, di sini.

Pada majlis itu, sebanyak 200 benih harum manis diagihkan sebagai projek perintis, di mana setiap peserta menerima dua pokok untuk ditanam mengikut panduan yang ditetapkan.

Saripudin berkata penerima diingatkan supaya menjaga tanaman dengan baik agar projek ini menjadi contoh kejayaan kepada petani lain.

“Jika berhasil, kerajaan negeri akan menambah lagi bantuan benih pada masa akan datang,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising.

Beliau berkata, Kelantan turut berpotensi besar dalam pengeluaran buah-buahan lain seperti anggur, kelapa dan tanaman bernilai tinggi yang mampu mengurangkan kebergantungan negara kepada import.

“Tanah kita subur dan sesuai untuk pelbagai tanaman, cuma perlu kesungguhan dan perhatian. Jika kita jaga dengan baik, hasilnya mampu meningkatkan pendapatan petani dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar,” katanya lagi.

Kerajaan negeri yakin usaha ini akan terus memperkukuh sektor pertanian Kelantan sebagai salah satu penyumbang utama ekonomi negeri.

Turut hadir pada majlis itu ADUN Wakaf Bharu, Mohd Rosli Abdullah dan ADUN Kelaboran Mohd Adanan Hassan. – HARAKAHDAILY 18/8/2025

- Advertisement -