Tuntut garis masa jelas pembangunan stadium di Parit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) hari ini membangkitkan persoalan mengenai garis masa pembangunan kompleks sukan atau stadium di kawasan Seri Iskandar yang majoriti penduduknya adalah golongan belia.

- Advertisement -

Dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, beliau menekankan keperluan mendesak kemudahan sukan tersebut kerana lebih 60 peratus penduduk Seri Iskandar terdiri daripada anak muda yang sangat memerlukan ruang pembangunan bakat serta aktiviti riadah.

“Apakah garis semasa atau ‘timeline’ sebenar yang telah ditetapkan oleh kementerian bagi mereasasikan pembangunan pusat sukan atau stadium ini?

“Apakah langkah segera atau ‘short term measures’ yang diambil oleh pihak kementerian untuk menyediakan kemudahan yang sementara bagi belia di kawasan Parit sementara menunggu kemudahan ini dibangunkan dan disiapkan?” soal beliau.

Menjawab pertanyaan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim memaklumkan bahawa keputusan hanya boleh dibuat selepas rundingan bersama Kerajaan Negeri Perak berkaitan penentuan tapak yang sesuai.

Menurut beliau, permohonan berhubung projek tersebut dijangka dibawa semula untuk pertimbangan pada Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu sekitar hujung tahun ini hingga tahun hadapan.

Muhammad Ismi sebelum itu dalam soalan asalnya meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan komitmen Kementerian untuk mempercepatkan pembangunan pusat sukan atau stadium di Seri Iskandar.

Menurutnya, ia telah dirancang sebelum ini bagi memenuhi keperluan aktiviti sukan dan rekreasi golongan belia di kawasan Parlimen Parit. – HARAKAHDAILY 18/8/2025

- Advertisement -