Projek harum manis diberi peruntukan lebih RM300,000

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan lebih RM300,000 sejak lima tahun lalu bagi membangunkan projek tanaman harum manis di negeri ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, projek itu mula diperkenalkan di kawasan Melawi, Bachok dan kini berkembang ke Pasir Puteh serta Pasir Mas.

Menurutnya, sebanyak 10 peserta awal telah dibantu melalui peruntukan RM120,000 sebelum disusuli 10 lagi peserta baharu tahun ini dengan jumlah peruntukan yang sama.

“Bantuan yang disalurkan termasuk input seperti baja, sistem paip, pam air serta keperluan teknologi pertanian semasa supaya peserta dapat menguruskan kebun dengan lebih sistematik,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian Program Apo Kobar Pok Tani Al-Falah (KAPOK) peringkat DUN Wakaf Bharu, di sini semalam.

“Secara keseluruhannya, lebih 30 peserta terlibat setakat ini dengan nilai peruntukan melebihi RM300,000 khusus bagi pembangunan harum manis di Kelantan,” ujarnya.

Beliau berkata, projek rintis itu dilakukan secara berperingkat dan tertumpu di kawasan tanah yang sesuai kerana pokok harum manis memerlukan persekitaran panas dan tidak sesuai di tanah berselut atau bertakung air.

“Selain di Bachok, kini sudah ada dua peserta yang menanam di Pasir Mas dan beberapa lagi di Pasir Puteh. Projek rintis ini kita pantau, jika tumbesaran pokok berjaya dalam tempoh setahun dua, peserta akan diberi peluang memperluas tanaman ke peringkat kebun,” jelasnya.

Pada majlis itu, seramai 100 penerima terpilih menerima dua pohon pokok harum manis setiap seorang sebagai percubaan awal sebelum dipertimbang untuk projek lebih besar.

Kerajaan negeri optimis tanaman harum manis berpotensi menjadi komoditi baharu Kelantan, sekali gus menambah sumber pendapatan petani tempatan. – HARAKAHDAILY 18/8/2025

- Advertisement -