Nilai semula sewa Arked MARA tempoh terlalu lama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui agensi Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta menilai semula premisnya yang disewakan kepada agensi dan persendirian bagi tempoh terlalu lama.

- Advertisement -

Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) berkata, Arked MARA sekarang bukan berperanan sebagaimana penubuhan asalnya iaitu membantu usahawan Bumiputera mendapatkan sebuah ruang perniagaan dengan kadar bayaran yang rendah.

Bagaimanapun beliau berkata, ada juga agensi kerajaan negeri merebut peluang tersebut sehingga menjejaskan cita-cita sebahagian besar golongan belia khususnya untuk menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

“Namun saya melihat ada di antara Arked MARA ini telah disewa oleh pihak-pihak dalam tempoh yang sangat lama, selain turut disewakan kepada syarikat yang lebih kukuh seperti syarikat yang berstatus sendirian berhad.

“Ada juga yang disewakan kepada agensi-agensi kerajaan lain seperti, PTPTN, TEKUN dan lain-lain lagi, yang saya lihat ia mengurangkan peluang perniagaan untuk menyewa, sejauhmanakan perkara ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dalam jawapannya mengakui Arked MARA disewakan kepada agensi kerajaan dan negeri sebagaimana dibangkitkan Ketua Penerangan Perikatan Nasional Melaka itu.

Bagaimanapun beliau berkata, langkah tersebut merupakan salah satu inisiatif dilaksanakan Mara untuk pastikan penggunaan optimum ruang yang dilihat tidak mendapat sambutan perniagaan dan lokasi yang tidak strategik.

Ahli Parlimen Kota Samarahan itu menambah, penyewaan tersebut melibatkan agensi kerajaan melibatkan urusan hariannya bersama rakyat secara langsung, sekali gus memberi manfaat yang besar kepada penduduk tempatan.

Mengenai penyewaan kepada individu dan syarikat yang agak lama pula beliau mengariskan tiga faktor, kenapa keputusan tersebut tetap dilaksanakan termasuk memberi pulangan sewaan konsisten kepada agensi tersebut.

“Yang kedua penyewa berjaya mengekalkan perniagaan yang stabil dan memberi manfaat kepada komuniti setempat dan yang ketiga tiada permintaan yang mencukupi daripada usahawan baru di kawasan tertentu.

“Namun begitu bagi menangani isu yang dibangkitkan, mara kini sedang menilai semula dasar pengagihan lot termasuk cadangan had maksimum bilangan lot dan peruntukan bagi penggunaan oleh agensi kerajaan,” katanya.

Dalam soalan asal, Bakri yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu itu meminta kerajaan menyatakan kriterian dan syarat memohon sewa unit kedai di Arked MARA serta statistik bilangan penyewa terkini di seluruh Malaysia. – *HARAKAHDAILY 18/8/2025*

- Advertisement -