
KUALA LUMPUR: Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) berkata, perlunya kementerian mengkaji semula perkembangan semasa terutama berkaitan kenderaan elektrik (EV).
Menurut beliau, perkembangan pesat industri automotif berteknologi tinggi di rantau ini menuntut kerajaan memberi perhatian serius terhadap penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta strategi eksport komponen berasaskan semikonduktor.
“Menurut penganalisis industri automotif Haizeen Syamsui ada menyatakan tumpuan serius terhadap R&D adalah kunci untuk menjadikan Malaysia berdaya saing dalam industri berteknologi tinggi dan memperkukuh kedudukan dalam ekosistem serantau.
“Justeru persoalannya, apakah peranan yang dimainkan oleh MITI dalam menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah hub pembangunan automotif teknologi tinggi dan sebagai pesaing di rantau Asia dan juga dunia?” soal beliau.
Soalan tersebut diajukan beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, di sini hari ini.
Menjawab soalan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, kerajaan komited membangunkan industri automotif negara dengan memberi tumpuan kepada penguasaan teknologi, bukan sekadar pengeluaran dalam pasaran domestik.
“Memang seperti apa yang saya sebut tadi, hasrat kita ialah untuk membangunkan teknologi dan membangunkan industri automotif kita supaya kita boleh eksport, bukan saja dijual di negara kita,” katanya.
Terdahulu, dalam soalan asal beliau kepada MITI, Siti Mastura meminta menteri menyatakan dasar Automotif Negara terkini serta strategi untuk meningkatkan jumlah penjualan kenderaan tempatan dan import dalam negara melalui dasar berkenaan. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











