
KEMAMAN: Dua spesies rumput laut, Halophila beccarii dan Halodule pinifolia, ditemui di perairan Kijal menerusi program Komunikasi, Pendidikan dan Keprihatinan Awam (CEPA) dan Kempen Kesedaran Rumput Laut bersama komuniti nelayan tempatan
Pakar Rumput Laut Malaysia dari Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Muta Harah Zakaria berkata, rumput laut mempunyai peranan besar dalam mengekalkan kelestarian alam marin.
Beliau berkata, rumput laut mampu mengurangkan pencemaran air, mengawal hakisan, menjadi sumber makanan kepada penyu, dugong dan anak ikan, selain berfungsi sebagai habitat serta tempat berpaut bagi kuda laut.
“Rumput laut juga memberi manfaat besar kepada manusia kerana ia digunakan dalam makanan dan ubat-ubatan seperti antioksida serta antibiotik,” katanya ketika berucap pada program berkenaan yang bertempat di Darul Iman Training Centre (DITC), Kijal, di sini kelmarin.
Program berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.
Menurut Dr Muta, di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak, tumbuhan laut itu turut digunakan untuk tujuan tradisional seperti bahan binaan atap dan anyaman bakul.
Katanya lagi, penganjuran program kesedaran itu dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat khususnya nelayan Kijal.
“Dari sudut kepentingan memelihara serta memulihara khazanah laut yang bernilai tinggi untuk kesejahteraan generasi masa hadapan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/8/2025











