Perlis perkukuh hubungan dua hala di Kunming

- Advertisement -

KUNMING, China: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam lawatan kerja rasmi ke Kunming, China terus membuka ruang kerjasama strategik antara Negeri Perlis dengan Wilayah Yunnan.

- Advertisement -

Delegasi Kerajaan Negeri memulakan aturcara rasmi dengan kunjung hormat ke Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Kunming, disambut mesra oleh Konsul Jeneral Malaysia, Muhammad Akmal Abdul Wahab di sini kelmarin.

Kunjungan ini memberi pendedahan kepada delegasi berhubung latar belakang Kunming serta peluang kerjasama yang berpotensi diterokai.

Menariknya, sesi tersebut turut diserikan dengan jamuan Nasi Lemak Pandan hasil air tangan kakitangan Pejabat Konsulat, anak jati Kedah, yang menambah rasa keakraban dan kemesraan.

Menurut Mohd Shukri, delegasi seterusnya bergerak ke Pejabat Pentadbiran Perbandaran Kunming dan menerima sambutan daripada Pemangku Datuk Bandar Kunming, Yang Chengxi.

Pertemuan diteruskan pada sebelah malam dalam jamuan rasmi yang dihoskan Naib Gabenor Wilayah Yunnan, Xu Hao bersama barisan kepimpinan wilayah.

Perbincangan di kedua-dua majlis memfokuskan potensi kerjasama perdagangan serta pertukaran budaya yang melahirkan respon positif, menjadi petanda baik kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala pada masa hadapan.

Tidak hanya terbatas pada acara rasmi, delegasi turut menyantuni komuniti Islam tempatan dengan menunaikan solat Zuhur keesokkan harinya di Masjid Shungcheng berhampiran hotel.

Kehadiran rombongan disambut penduduk tempatan dan pelancong dari Terengganu, memperlihatkan eratnya ikatan ukhuwah Islamiah merentasi sempadan negara.

“Alhamdulillah, bertandang ke Masjid Shungcheng berhampiran hotel untuk solat zuhur, delegasi disapa penduduk tempatan dan pelancong dari Terengganu,” ujar Mohd Shukri di laman Facebook rasminya.

Lawatan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri Perlis memacu potensi ekonomi ke peringkat global, di samping mengangkat nilai persahabatan dan kerjasama antarabangsa berteraskan prinsip saling menghormati. – HARAKAHDAILY 14/8/2025

- Advertisement -