PN kecam keras serangan ke atas anak Rafizi Ramli

Gesa tindakan tegas pihak bertanggungjawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengecam sekeras-kerasnya serangan yang dilaporkan berlaku ke atas anak bekas Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli, tengah hari semalam.

Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, insiden yang dilaporkan berlaku di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya itu merupakan perbuatan jenayah tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara bertamadun.

PN menurutnya, turut mengambil maklum kenyataan Rafizi bahawa serangan itu adalah bentuk amaran kepadanya supaya tidak lagi bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

“Jika benar telahan ini, ia menandakan satu perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.

“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan kepada ancaman dan keganasan fizikal, apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak,” ujarnya dalam kenyataan.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, PN menzahirkan sokongan moral penuh kepada Rafizi dan keluarga dalam menghadapi saat sukar.

Selain itu beliau turut mendoakan anak Rafizi berada dalam keadaan baik serta pulih sepenuhnya daripada kesan dan trauma.

“Mudah-mudahan seluruh keluarga beliau diberikan ketabahan serta perlindungan oleh Allah SWT,” katanya yang juga Setiausaha Agung PAS.

PN jelasnya turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertenang dan matang menghadapi situasi itu selain tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau andaian yang mungkin sengaja dicetuskan untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat.

Kestabilan dan keamanan negara ujarnya, ialah tanggungjawab bersama dan PN dalam pada itu tegasnya, menggesa polis menyiasat kejadian itu dengan segera, telus dan menyeluruh.

“Pelaku jenayah ini mesti dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai isyarat jelas bahawa sebarang bentuk keganasan, terutama terhadap kanak-kanak, tidak mempunyai tempat di bumi Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2025

- Advertisement -
- Advertisement -