
KOTA BHARU: Meskipun Akademi Pemimpin Masa Depan Kelantan (KFLA) diadakan selama empat hari tiga malam sahaja, namun pesertanya mengakui dapat menimba ilmu serta pengalaman berharga membentuk masa depan negara.
Menurut Che Khairul Abrar Che Din, 29, antara perkara menarik ialah aspek pengurusan program yang holistik kerana peserta mampu bertindak sebagai fasilitator mahupun urusetia terhadap aktiviti dilaksanakan.
Selain itu KFLA katanya, turut membentuk pemikiran kritis melibatkan pengembangan kemampuan untuk menganalisis maklumat secara mendalam dan jelas, penilaian hujah yang padu serta membuat keputusan tepat.
“Kami diberi peluang untuk mengurus program yang mana kita fasilitator atau urusetia, dia memberi sepenuhnya kepada kita untuk ‘handle’ slot pengisian ceramah, aktiviti riadah dan sebagai, kita boleh belajar.
“Seterusnya bagaimana untuk melatih kita ini sebagai ‘critical thinking’ dan membawa isu bukan secara umum tetapi secara khusus dengan memberi solusi terus kepada impak tersebut bukan sekadar umum,” katanya.
Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu turut menaruh harapan agar sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan membantu kerajaan negeri meneruskan program yang membentuk generasi pemimpin masa depan.
Dia berkata, sebagai pengambilan pertama akademi tersebut berharap penganjuran KFLA pada tahun-tahun mendatang akan diberi nafas baru termasuk masa yang lebih panjang dan penambahbaikan pengisian program itu.
“Saya berharap untuk program ini diteruskan lagi kerana kami ini pengambilan pertama untuk KFLA jadi untuk masa akan datang harap dapat diteruskan lagi dan memberi penambahbaikan program dengan cara lebih baik.
“Selain itu saya juga berharap agar semua peserta yang pertama ini untuk meneruskan lagi program kemasyarakatan kerana kami mendapat geran projek komuniti lestari RM20,000, program ini perlu diteruskan,” katanya.
Sementara itu bagi Mohd Izzat Ikhwan Ramli, 21, berkata, peserta KFLA diberikan penjelasan sebenar mengenai situasi pentadbiran kerajaan negeri walaupun dimomokkan maklumat kurang tepat oleh segelintir pihak.
Sebelum ini dia beranggap bahawa legasi kepimpinan pelajar hanya berlegar dalam kawasan kampus sahaja, kini persepsi itu semakin pudar setelah didedahkan ramai kepimpinan pelajar di kampus adalah teraju kerajaan hari ini.
“Jadi apa yang boleh kita ‘related’ adalah kita sendiri kena kenal negeri kita sendiri dan bagaimana pengurusan negeri kita, orang duduk kata negeri kita begitu dan begini, tapi kita sendiri tidak tahu situasinya.
“Dari sinilah kita belajar apa yang sebenar, apa situasi yang kerajaan kita hadap dan benda ini juga mengajar kita prosedur pengurusan kerajaan ada cara dia,” kata Mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian itu.
Manakala Nur Fatin Fatimah Mat Lui, 29, menjelaskan KFLA merupakan wadah bagi golongan mahasiswa di negara ini yang mempunyai daya kepimpinan tinggi untuk diketengahkan sebagai potensi pimpinan pada masa hadapan.
Dia juga menaruh harapan besar kepada akademi tersebut supaya menjadikan Kelantan sebagai pusat melahirkan lebih ramai lapisan pemimpin yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan hari ini untuk tempoh 20 tahun nanti.
“Harapan saya hanya satu iaitu mahu program ini diteruskan lagi dengan pengambilan akan datang sebab kita sekarang ‘batch’ pertama dari kalangan mahasiswa mahasiswi, jadi benda ini perlu diteruskan pada masa depan.
“KFLA ini merupakan satu platform kepada kerajaan negeri khususnya supaya mempunyai pelapis bukan sahaja kepada negeri tetapi juga negara, inshallah,” kata mahasiswi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu. – HARAKAHDAILY 13/8/2025























