
BACHOK: Tanaman bawang yang diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Telong di sini diyakini mampu mengurangkan kebergantungan negeri terhadap import bawang, sekali gus memperkukuh sekuriti makanan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agro Makanan dan Komoditi Negeri Kelantan, Dato’ Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata, inisiatif itu merupakan kerjasama strategik antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan Jabatan Pertanian Malaysia.
Menurutnya, program tersebut membuka peluang ekonomi kepada usahawan tani tempatan selain memberi panduan pelaksanaan aktiviti penuaian serta proses pasca-tuaian bawang sebelum dipasarkan atau dijadikan benih tanaman.
“Sebanyak 10 usahawan terlibat dalam projek ini dengan keluasan tanaman 4.6 hektar menggunakan kaedah penanaman konvensional serta fertigasi gantung. Hasil tuaian pertama mencecah 18,400 kilogram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penuaian Bawang Peringkat Negeri Kelantan 2025 di TKPM Telong, di sini hari ini.
Katanya, program itu selaras dengan pelan strategik makanan negara untuk mengurangkan kebergantungan import dan memantapkan pengeluaran bawang tempatan.
Program berkenaan turut disokong agensi teknikal termasuk Jabatan Pertanian, MARDI dan FAMA bagi memastikan kejayaan projek serta peningkatan pendapatan usahawan tani di negeri ini.
Projek tanaman bawang di Kelantan turut mencatat kejayaan awal apabila tuaian pertama di kawasan Tawak, Tanah Merah berjaya dilakukan selepas hanya 60 hari penanaman.
Setakat ini, tujuh daerah di Kelantan terlibat termasuk Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli, manakala beberapa daerah lain akan menyusul setelah benih tiba hujung bulan ini.
“Hanya mengambil masa dua bulan untuk matang, bawang ini mampu memberi pilihan kepada rakyat dengan pengeluaran tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan 100 peratus kepada import,” katanya.
Sebahagian hasil tuaian pertama akan digunakan sebagai benih bagi pusingan penanaman seterusnya, manakala selebihnya akan dipasarkan di pasaran tempatan melalui kerjasama dengan pasar raya.
“Projek ini adalah konsep pertama untuk memberi semangat kepada petani agar melihat sendiri potensi hasil bawang di negeri ini,” jelasnya.
Buat masa ini, dua varieti bawang iaitu BAW 1 dan BAW 2 digunakan, dengan benih yang dihasilkan sepenuhnya dalam negara.
Kualiti hasil dipengaruhi faktor cuaca, dan penanaman di bawah struktur pelindung hujan atau rumah hijau dijangka mampu meningkatkan produktiviti.
“Projek ini diharap menjadi titik permulaan kepada pengeluaran bawang tempatan secara lebih besar dan berterusan di Kelantan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











