
KOTA BHARU: Pesta Mmukat Bachok 2025 bakal menjadi usaha menghidupkan kembali warisan tradisional nelayan pantai yang semakin jarang diamalkan pada masa kini.
Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, aktiviti memukat suatu ketika dahulu merupakan kerjaya utama nelayan pantai, namun semakin dilupakan berikutan perkembangan teknologi bot besar yang digunakan untuk menangkap ikan di laut.
“Program yang akan berlangsung ini adalah antara usaha untuk menjaga kegiatan ekonomi khususnya bagi nelayan pantai serta mengembalikan nostalgia kepada mereka yang pernah mencari rezeki melalui kaedah ini,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya semalam.
Beliau berkata selain menjadi sebahagian acara dalam kalender Tahun Melawat Kelantan, penganjuran ini turut memberi peluang kepada generasi muda menyaksikan secara langsung kaedah tradisional menangkap ikan yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.
Beliau berkata, Pesta Mmukat Bachok 2025 akan diadakan di Pantai Impian (Kemasin), Bachok pada Sabtu, 16 Ogos ini dan dijangka mendapat sambutan penduduk kampung serta pengunjung luar.
“Sebahagian penduduk kampung sendiri akan mengambil bahagian menarik pukat ke darat melalui kaedah mengepung ikan di tepi pantai, manakala yang lain hadir sebagai penonton.
“Pegawai kanan kerajaan negeri dan exco juga dijangka akan turut serta menjayakan majlis ini,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri itu.
Tambahnya kegiatan itu sukar untuk digambarkan secara lisan sebaliknya lebih baik dilihat sendiri supaya masyarakat dapat merasai pengalaman tersebut.
Beliau yakin penganjuran ini akan menarik minat pengunjung kerana ia jarang diadakan dan berhasrat menjadikannya acara tahunan selepas ini. – HARAKAHDAILY 13/8/2025











