
ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar setiap mesyuarat di negeri ini dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan perbincangan produktif, berfokus dan berimpak tinggi.
Baginda bertitah, mesyuarat bukan sekadar memenuhi agenda rutin atau formaliti, sebaliknya wajar menjadi platform strategik untuk percambahan idea.
Juga titahnnya, sebagai penyelesaian masalah dan penggubalan pelan tindakan holistik demi memperkasa negeri serta mengangkat martabat umat di Perlis.
“Keputusan yang baik hanya akan bermakna sekiranya disusuli pelaksanaan berkesan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat. Hendaklah sesuatu keputusan itu disegerakan tindakannya agar tidak kekal ‘kaku di dalam minit mesyuarat’,” titah baginda.
Raja Muda bertitah lagi bahawa menjadi harapan baginda agar setiap cadangan, keputusan atau resolusi dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat atau perbincangan dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata di lapangan tanpa bertangguh.
Titah ini mencerminkan komitmen berterusan baginda untuk melihat Perlis terus bergerak ke hadapan melalui perancangan yang bijaksana, pelaksanaan konsisten, dan semangat kerjasama padu di semua peringkat.
Titah tersebut disampaikan ketika baginda berkenan menyempurnakan program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah, diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir menyambut keberangkatan ialah Ketua Pegawai Eksekutif (MAIPs), Ustaz Mohd Nazim Mohd Noor.
Sempena program itu semalam, baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs menyerahkan agihan zakat kepada 225 asnaf terpilih, membabitkan 75 penerima setiap kariah di Kubang Gajah, Alor Ara dan Banggol Sena.
Setiap penerima menerima RM700, menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan RM157,500. – HARAKAHDAILY 14/8/2025











